Tuesday, February 10, 2015

Taklimat Kepada Media Berkaitan Perosak Dan Penyakit Utama Tanaman Padi Di Kawasan Muda Bagi Musim 2/2014

Keadaan cuaca yang lembab pada bulan November dan awal Disember 2014 telah menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit padi iaitu karah daun, karah tangkai, jalur daun bakteria di Kawasan Muda.

Pengerusi MADA, Dato' Othman bin Haji Aziz berkata hampir 10 ribu hektar tanaman kawasan Muda menerima serangan penyakit karah daun dan karah tangkai manakala hampir 1400 hektar tanaman kawasan Muda menerima serangan penyakit jalur daun bakteria.

Katanya, serangan penyakit yang menyerang tanaman padi telah menyebabkan ramai pihak terutamanya peladang dan juga MADA sendiri menanggung kerugian dari segi hasil dan pendapatan.

Oleh yang demikian, MADA telah mengadakan satu taklimat kepada media dan juga kepada Pengerusi-Pengerusi 27 buah PPK MADA berkaitan perosak dan penyakit utama tanaman padi di Kawasan Muda bagi musim 2/2014 telah diadakan pada 25 Januari 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Industri Padi MADA, Tuan Haji Kamaruddin bin Dahuli.

Dato' Othman berkata lagi taklimat tersebut diadakan bertujuan bagi menyampaikan maklumat berkaitan serangan perosak dan penyakit padi.

Beliau berharap, dengan adanya taklimat tersebut golongan yang hadir dapat memahami dan bersama-sama turut ambil serious bagi mengelakkan serangan perosak terhadap tanaman padi terus berleluasa.

Selain itu, beliau juga berharap semua peladang hendaklah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cara mendisplinkan diri dalam mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut jadual tanaman padi yang telah disediakan oleh MADA.

Hadir sama dalam taklimat tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar ( Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) IR Hor Tek Lip, dan Ketua Pegawai Eksekutif SPPM , Encik Shakir Jamil bin Fisal.


No comments:

Post a Comment