Saturday, October 19, 2013

ASEAN Bersatu Tangani Isu Pertanian

SELARI dengan 46 tahun penubuhan ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Ke-35 diadakan di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan isu keselamatan makanan rantau ini. Selain AMAF, mesyuarat sama turut diadakan dengan rakan-rakan ASEAN seperti India (AMAF-India) serta China, Jepun dan Korea (AMAF+3) yang bekerjasama memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi krisis makanan dan memenuhi permintaan global. Mungkin ramai tidak sedar betapa pentingnya kerjasama ini kerana terlalu fokus kepada perindustrian untuk mencapai status negara maju dan terlupa pertanian itu kunci kepada penyediaan bekalan makanan yang menjadi antara asas utama kehidupan, untuk yang miskin ataupun kaya. Pertanian juga sebenarnya memberi pulangan lumayan dan antara sumber utama kekayaan negara anggota, menyumbang AS$2.3 trilion (RM7.41 trilion) kepada pendapatan kasar ASEAN. Oleh itu, fokus bagi mengukuh serta meningkatkan pengeluaran produk pertanian perlu menjadi antara agenda utama peringkat global, bukan sahaja penting untuk bekalan makanan penduduk seluruh dunia malahan menjamin sumber pendapatan besar kepada sesebuah negara. Dalam ucapan perasmian AMAF kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan beberapa isu utama pertanian dunia agar rantau ini bersedia jika krisis makanan dan petroleum berulang seperti ketika beliau menjadi Menteri Pertanian antara tahun 2004 hingga 2008. Beliau menegaskan perlunya fokus kepada teknologi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi semua itu turut bergantung kepada kerjasama erat negara-negara anggota dalam berkongsi sumber antara mereka, demi manfaat bersama. “Cabarannya bukan sahaja menghasilkan makanan secukupnya tetapi untuk memenuhi permintaan. Malangnya, dunia kini berdepan masalah perubahan iklim, kehilangan tanah pertanian kepada pembangunan komersial dan lain-lain. “Oleh itu, saya mencadangkan menteri-menteri pertanian ASEAN pertimbang untuk mewujudkan dana bersama ke arah pembangunan inovasi serta R&D untuk manfaat bersama negara-negara anggota,” kata Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga berharap kekangan dan masalah teknologi dapat diselesaikan bersama dengan mengumpulkan sumber bersama semua negara anggota daripada mereka ‘bekerja sendirian’. Dengan gabungan dana pelaburan lebih besar, pilihan output R&D lebih besar dan lebih baik, serta kos teknologi yang lebih berkesan, Muhyiddin berharap negara-negara anggota mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing. ke arah sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Saranan itu turut didukung Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat perkongsian sumber akan memberi manfaat bersama kepada seluruh rantau ini dalam menghadapi cabaran isu keselamatan makanan. “AMAF sudah sejak sekian lama menggerakkan asas-asas binaan ke arah AEC untuk makanan, pertanian dan perhutanan. “Saya percaya peranan kita sebagai pemegang amanah dalam pertanian dan perhutanan kini lebih penting daripada sebelumnya kerana kelangsungan dunia kelak bergantung kepada pertanian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam. Beliau menjelaskan, negara perindustrian juga tetap memerlukan produk pertanian sementara negara maju masih terlibat dalam industri tersebut tetapi dipermudahkan kaedah pertaniannya. Tegasnya, Malaysia dan ASEAN juga perlu ke depan dengan pemodenan industri pertanian dan bukannya mengabaikan atau meninggalkan industri tersebut semata-mata kerana mahu menjadi negara pengkomersialan. “Kita kena ingat, krisis makanan dahulu berpunca daripada pembelian banyak sumber makanan dari luar. Semasa Thailand banjir, beras tidak dapat dibawa keluar. “Untuk itu, kita berkongsi sumber, semua jenis sumber seperti dana untuk Rizab Beras Kecemasan bagi membantu mereka yang hadapi bencana. Kita juga bertukar teknologi, negara dengan teknologi canggih bantu negara yang banyak tanah tapi kurang teknologi,” katanya. Beliau memaklumkan Malaysia juga mempunyai kemampuan tertentu dalam pertanian dan akan membantu negara anggota yang memerlukannya tetapi industri pertanian negara turut belajar dari negara lain melalui pertukaran para pegawai. Selaku tuan rumah AMAF Ke-35, beliau menjelaskan Malaysia juga menjadi pengerusi menteri-menteri pertanian ASEAN selama satu tahun sehingga 2014, untuk menyelaras dan mengepalai semua inisiatif yang telah dipersetujui, termasuk bersama AMAF-India dan AMAF+3. “Yang paling utama, negara-negara ASEAN memberi kepercayaan kepada Malaysia selaku pengerusi dan kita berjaya suarakan pandangan serta bincangkan isu berbangkit dengan negara-negara terlibat. “Kita juga mengadakan perbincangan dua hala untuk melihat peluang kerjasama lain dengan negara-negara anggota serta menyelesaikan masalah agar tiada pertelingkahan, cari situasi menang-memang,” ujarnya. Tambahnya, beberapa perkara turut dilihat kembali seperti perjanjian persefahaman (MoU) lama, sama ada sudah dibuat susulan, serta jawatankuasa bersama, sama ada sudah lama tidak bermesyuarat sehingga gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan kepentingan dalam bidang pertanian di rantau itu. Ismail Sabri turut mengakui AMAF memberi peluang baik untuk beliau berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan sejawat ASEAN dan memahami masalah-masalah berbangkit yang dihadapi mereka, seterusnya cuba diselesaikan secara bersama. “Bermacam jenis bencana alam berlaku di negara-negara ASEAN dan bantuan segera diperlukan seperti makanan dan lain-lain. Kita setuju tubuhkan rizab beras dan bantuan-bantuan lain juga akan diberikan Malaysia serta negara-negara anggota. “Isu keselamatan makanan dan perubahan iklim juga kita beri perhatian. Tidak pernah ada jaringan kerjasama seperti ini, ia terbaik untuk lihat apa yang berlaku di rantau ini dan usahakan dengan segera bantuan yang diperlukan negara-negara ASEAN terbabit,” jelasnya. SUMBER : UTUSAN

No comments:

Post a Comment