Tuesday, November 19, 2013

Kerajaan sentiasa prihatin kepada sektor pertanian dan asas tani

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato` Seri Jamil Khir bin Baharom berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap sektor pertanian dan asas tani yang sememangnya penting kepada negara. Tambah beliau, hal ini menunjukkan bahawa sebanyak RM 6 billion telah diperuntukkan dalam bajet 2014 kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang sememangnya akan membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani. Beliau berkata, pihak kerajaan memahami sikap kesungguhan petani yang ikhlas berbakti kepada tanah yang diusahakan tanpa rasa jemu atau letih sehingga memberi hasil pertanian dan pengeluaran makanan kepada penduduk negara. Selain itu, beliau berharap petani, penternak dan nelayan yang mendapat bantuan tambahan seperti pinjaman wang, mesin, oven dari pihak kementerian dapat menambah pendapatan sampingan dalam mengusahakan makanan sejuk beku, jualan kerepek, kuih-muih tradisional dan banyak lagi. Tambah beliau, dengan adanya bantuan seperti itu dapat meningkatkan pendapatan golongan tersebut dan mengurangkan golongan miskin tegar. Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Masyarakat pada 31 Oktober 2013 di PPK G-IV Guar Chempedak. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan zakat Agrobank dan juga bantuan industri asas tani dari kementerian serta bantuan “touch point” MADA kepada penerima. Beliau kemudiannya ke tapak perletakan batu asas di surau PPK Seri Jerai, Guar Chempedak sebagai tanda perasmian.

No comments:

Post a Comment