Wednesday, August 5, 2015

2,966 Petani Terima RM3.46 juta Bantuan Wang Ehsan Banjir Bulan November/Disember 2014

Seramai 2,966 petani yang terlibat bencana banjir pada November dan Disember tahun 2014 lalu telah diluluskan untuk menerima bantuan wang ehsan sebanyak RM 3.46 juta.

Menteri Besar Kedah, Dato` Seri Haji Mukhriz bin Tun Mahathir berkata, daripada jumlah tersebut seramai 2,948 petani daripada sektor padi, 9 orang dari sektor buah-buahan dan sayur-sayuran, 8 orang daripada akuakultur dan seorang daripada ternakan yang melibatkan seluas 3824 hektar merangkumi kawasan MADA dan luar kawasan MADA.

Katanya, bantuan tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memikirkan keperluan rakyat Malaysia khususnya petani mengusahakan pertanian yang terlibat dengan bencana banjir.

Tambah beliau, sejak kebelakangan ini kejadian banjir di Kedah bukanlah perkara asing lagi kerana saban tahun terdapat sahaja kawasan-kawasan dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan hasil pertanian sekaligus merencatkan pertumbuhan sektor pertanian serta sumbangannya kepada pendapatan negeri dan negara.

Beliau berharap dengan bantuan yang diberikan kepada petani yang terlibat dapat menggunakan bantuan tersebut dengan sewajarnya di dalam memastikan kelestarian pertanian di negeri Kedah dan kelestarian pengeluaran agromakanan negara.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan Bencana November/Disember 2014 di Kolej Universiti Insaniah, pada 6 Julai 2015.

Turut bersama beliau dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, YB Dato` Suraya binti Yaakob, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengarah-pengarah bahagian MADA, wakil daripada jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, serta hampir 1,500 orang peladang dan penternak.

No comments:

Post a Comment