Wednesday, August 5, 2015

MADA Sasar RM300,000 Hasil Jualan Bazaar IAT Aidilfitri

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan sebanyak RM300 000 bagi hasil jualan dari Bazaar IAT sempena Aidilfitri 2015.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata seramai 16 usahawan terlibat secara langsung tetapi seramai 120 orang di bawah program ini juga akan menerima manfaatnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bazaar IAT Sempena Jualan Produk Kuih Raya Usahawan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 5 Julai 2015 bertempat di perkarangan Star Parade, Alor Setar.

Tambah Dato` Othman, Bazaar IAT MADA turut juga diadakan di empat tempat berlainan iaitu di Alor Setar Mall, Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, Pasaraya Yawata Jitra, dan Taman Sena Indah Perlis bermula pada 1 Julai sehingga 16 Julai 2015 yang bertujuan menjual kuih-kuih raya tradisional dan moden sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya lagi, ia merupakan sebahagian daripada usaha MADA bersama jabatan & agensi berkaitan seperti FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian dan juga Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), yang mempunyai misi yang sama dalam membantu dan memberi peluang kepada usahawan-usahawan untuk mencari ruang dan peluang dalam mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.

Dato` Othman berharap dengan adanya program sebegini, semua usahawan yang terlibat dapat mengorak langkah dalam mengembangkan pasaran produk mereka dengan seluas-luasnya selain berjaya menapak sendiri dalam promosi pemasaran kelak.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Tuan Haji Mustafa bin Murat, Pengarah Pembangunan Wilayah MADA, Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Encik Ruslan Abdul Ghani bin Ahmad, Pengurus-pengurus Wilayah MADA serta wakil daripada KEDA, FAMA, MARDI dan Jabatan Pertanian.


No comments:

Post a Comment