Wednesday, August 5, 2015

Selamat Ulang Tahun MADA Ke 45

30 Jun 2015 genaplah 45 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) beroperasi membangunkan Kawasan Muda yang meliputi dataran tanaman padi seluas 126,155 hektar dengan kawasan sawah seluas 96,558 hektar.

Majlis sambutan ulang tahun penubuhan yang ke 45 tahun telah diadakan pada 1 Julai 2015 bertempat di Ibu Pejabat MADA.

Majlis ulang tahun MADA tersebut di mulakan dengan bacaan Yasin bagi mensyukuri dan memohon keberkatan dari Allah S.W.T dan kemudiannya diikuti majlis berbuka puasa dan seterusnya acara memotong pulut kuning sebagai gimik pelancaran sambutan ulang tahun MADA ke 45

Di samping itu, majlis juga diserikan dengan penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada anggota-anggota MADA dan urusetia Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) oleh Pengerusi MADA. YB Dato’ Othman Aziz selepas itu mengimamkan Solat Isyak dan Solat Tarawih di Dewan Syed Nahar.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata dalam usia yang hampir menjangkau lima dekat ini sudah tentu MADA semakin matang dan telah membuahkan beberapa kejayaan dan sumbangan yang amat bermakna kepada peladang, Negeri Kedah dan negara kita Malaysia.

Antara kejayaan MADA adalah berjaya mengeluarkan keluarga peladang di kawasan Muda dari kumpulan miskin tegar sehingga hanya tinggal ke tahap 2%, menyumbang sebanyak 37% keperluan beras kepada negara kita dan menyumbang membangunkan sektor industri asas tani sehingga mencapai hasil melebihi RM100 juta setahun serta banyak lagi.

Tambah Dato` Othman, bagi perancangan masa depan untuk MADA beliau berharap semua kakitangan MADA terus memberi perkhidmatan yang terbaik bagi mencapai sasaran YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meningkatkan hasil padi sebanyak 8 tan sehektar dan juga pendapatan peladang sebanyak RM48,000 setahun menjelang tahun 2020.

Dalam memastikan mencapai sasaran Kementerian, pelbagai perancangan telah disusun atur seperti meningkatkan kepadatan taliair selain mengamalkan amalan pertanian baik dan juga memperluaskan lagi kempen-kempen pengembangan seperti penggunaan benih padi sah, penggunaan racun padi sah dan juga kawalan penyakit dan perosak.

Menyelusuri sejarah penubuhannya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah ditubuhkan pada 30 Jun 1970 di bawah satu Dekri Darurat dengan nama asalnya ialah Pehak Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda dan perasmiannya telah dilakukan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak Hussein selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan di dalam satu upacara di Bangunan Balai Besar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Ia kemudian telah ditukarkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diluluskan oleh Parlimen di bawah akta 70, Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, 1972.

Peranan utama yang dimainkan oleh MADA ialah mendorong, menggerak dan menyatukan petani-petani ke dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif yang akan mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial adalah satu proses yang sentiasa menubuhkan keperluan-keperluan serta peluang-peluang baru, struktur organisasi MADA telah dibentuk menggabung perkhidmatan-perkhidmatan pentadbiran, kejuruteraan, pertanian dan latihan ke dalam satu pengurusan yang fleksibel.



No comments:

Post a Comment