Sunday, October 18, 2015

KPA lancar Gotong Royong di Wilayah II

Kumpulan Pengguna Air di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah melancarkan program gotong royong bagi Wilayah II, MADA di Kampung Pida 5, Mukim Putat, Jerlun pada 7 Oktober 2015.

Program gotong royong tersebut telah dijalankan di Blok LBLBD 7 dan dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz.

Dato` Othman dalam ucapannya berkata, program gotong royong merupakan salah satu inisiatif MADA dan juga ahli KPA dalam mewujudkan permuafakatan dan bertanggungjawab dalam menjalankan pelbagai aktiviti sehingga dapat menjamin pengurusan saliran dan perparitan dijaga dengan sempurna.

Tambah beliau, dengan tertubuhnya KPA ini, setiap ahli KPA ataupun peladang di Kawasan Muda tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada MADA kerana golongan tersebut dapat mengawal sendiri pengaliran atau pengurusan air ke sawah mengikut kehendak dan keperluan semasa proses penanaman padi.

Beliau berharap kepada semua peladang-peladang di Kawasan Muda menyambut baik dan memanfaatkan program sebegini yang bukan sahaja memberi impak positif yang besar kepada MADA sahaja bahkan kepada golongan tersebut khususnya dalam peningkatan hasil padi dan juga pendapatan.

Sehingga kini, sebanyak 120 Kumpulan Pengguna Air MADA di bawah 495 unit merangkumi empat wilayah MADA di mana setiap satu kumpulan mempunyai tiga unit.

Turut sama dalam program tersebut adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah MADA, Tuan Haji Mustafa bin Murat, Pengarah Bahagian Pengurusan Saliran dan Sumber Air MADA, Tuan Haji Nasiruddin Abdullah dan Pengurus Wilayah II MADA, Encik Dzulkifli bin Yaakub.

Terdapat tiga aktiviti dijalankan dalam program gotong royong tersebut dan antaranya adalah membersihkan parit tali air, mengecat dan juga memotong rumput.


No comments:

Post a Comment