Sunday, October 4, 2015

Peladang, penternak dan nelayan perlu di hargai

Semua rakyat Malaysia perlu menghargai dan menyanjung tinggi kepada peladang, penternak dan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ahmad Shabery Cheek berkata golongan tersebut harus dihargai dan disanjung tinggi kerana golongan tersebut merupakan penyumbang utama sumber makanan kepada rakyat dan juga negara.

Katanya, kerajaan dan Kementerian sentiasa prihatin akan usaha dan jerih payah peladang, penternak dan nelayan dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan demi mengeluarkan bahan makan dalam memajukan sektor pertanian negara.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Jubli Emas, Alor Setar 6 Ogos 2015.

Dalam majlis yang sama, Menteri Besar Kedah, Dato` Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata peladang, penternak dan nelayan sememangnya menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri Kedah di mana hampir 70% rakyat di negeri tersebut mengusahakan pertanian dan penternakan.

Katanya, golongan tersebut sentiasa di beri perhatian dan terus di bela terutamanya dalam usaha mengurangkan kos sara hidup dan juga perbelanjaan yang kini semakin tinggi terutamanya dalam mengusahakan pertanian dan penternakan.

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan kepada peladang, penternak dan nelayan hendaklah mengaplikasikan teknologi terkini dan termoden yang bukan sahaja bakal meningkatkan hasil bahkan meningkatan pendapatan masing-masing dan seterusnya kepada negara dalam memastikan golongan tersebut kekal sebagai penyumbang utama kepada negara selaras dengan tema Hari Peladang, Penternak dan Nelayan bagi tahun ini iaitu Agroteknologi Pemangkin Transformasi.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan Anugerah Peladang 2015 kepada peladang-peladang yang telah berjaya di tahun 2014 sempena Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Suraya binti Yaacob, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Arif bin Ab Rahman dan Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta wakil-wakil jabatan negeri Kedah.




No comments:

Post a Comment