Monday, October 5, 2015

Kumpulan Pengguna Air (KPA) MADA diwujudkan Bagi Hargai Sumber Air

Kumpulan Pengguna Air (KPA) yang diilhamkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah bertujuan supaya peladang-peladang di Kawasan Muda menghargai air.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata KPA ditubuhkan kerana isu dan aduan oleh peladang-peladang berkenaan konflik penghantaran ataupun pengagihan air oleh MADA kepada lot-lot tanah sawah di Kawasan Muda tidak pernah selesai.

Katanya, dengan tertubuhnya KPA ini yang ahlinya terdiri daripada peladang-peladang di lot-lot sawah dalam Kawasan Muda dapat sendiri menyelesaikan masalah yang telah lama terbelenggu dan secara tidak langsung kumpulan tersebut mengambil berat dan mematuhi jadual tanaman padi yang dikeluarkan oleh MADA.

Tambah beliau, walaupun sudah tertubuhnya KPA ini, pegawai-pegawai MADA hendaklah sentiasa turun padang dan bersama-sama dengan peladang-peladang selaras dengan tema kemerdekaan tahun ini iaitu SehatiSejiwa, dengan membantu dalam membuat keputusan bagi menjamin pengurusan sawah menjadi lebih efisien dan seterusnya dapat mencapai sasaran hasil padi sebanyak 7 tan sehektar bagi tahun 2015.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kumpulan Air dan juga Perhimpunan Bulanan MADA pada 28 September 2015 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Pengurusan Pertandingan KIK sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang telah dimenangi oleh Bahagian Perancang dan Teknologi Maklumat MADA dan juga kepada pemenang Pameran Terbaik KIK yang dimenangi oleh Bahagian Mekanikal dan Elektrikal MADA. Disamping itu beliau juga menyampaikan hadiah kepada Bahagian Mekanikal dan Elektrikal MADA yang mendapat tempat kedua dalam kategori Bot Berhias sempena Karnival Pasir Salak 2015.

Di samping itu, beliau sempat meluangkan masa menyampaikan daging korban kepada 100 orang penerima yang terdiri anggota-anggota MADA.
Turut mengiringi beliau dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA, Tuan Haji Musa bin Kamis, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Tuan Haji Syed Zainudin Syed Zain, Pengarah Pengurusan Wilayah, Tuan Haji Mustafa Murat dan Pengarah-pengarah bahagian MADA yang lain.

No comments:

Post a Comment