Monday, March 16, 2015

MADA Bersedia Menghadapi Fenomena Ekuinoks

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah bersedia untuk menghadapi fenomena Ekuinoks yang dijangka akan melanda negara Malaysia pada bulan Mac 2015.
Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata pelbagai perancangan dari pengurusan MADA telah diatur rapi bagi menghadapi fenomena tersebut.

Katanya, fenomena ekuinoks yang dikatakan berlaku pada bulan Mac ini tidak akan memberi kesan kepada penanaman padi di Kawasan Muda kerana sehingga kini kemajuan penuaian padi telahpun melebihi 96%.

Tambah beliau, keadaan takungan air di empangan-empangan yang dikendalikan oleh MADA adalah berada di paras yang tinggi dan tersedia bagi menjayakan penanaman padi musim 1/2015 yang dijangka bermula pada akhir Mac 2015.

Oleh yang demikian, masyarakat di negeri Kedah dan Perlis terutamanya peladang-peladang di Kawasan Muda tidak perlu berasa bimbang akan fenomena ini yang diharapkan tidak memberi kesan yang mendalam terhadap tanaman padi yang akan diusahakan dalam Musim 1/2015 ini.

Beliau berkata demikian dalam wawancara RTM, Selamat Pagi Malaysia pada 2 Mac 2015 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Fenomena Ekuinoks dikatakan berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada bulan Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan khatulistiwa di mana lokasi negara ini berada.

Situasi ini hanya akan menjurus kepada peningkatan suhu antara 1 atau 2 darjah celsius dan ini masih dikira normal dan tidak akan memberi kesan besar secara keseluruhan kerana perubahan suhu banyak dipengaruhi pelbagai faktor seperti pergerakan angin, hujan dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari didedahkan cahaya matahari ketika fenomena ini berlaku dan juga digalakkan minum lebih banyak air.





No comments:

Post a Comment