Monday, March 16, 2015

Peranan Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan Penting dalam Memerangi Orang Tengah

Peranan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan adalah penting dalam memerangi orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata dalam memastikan peranan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan diperkasakan, pegawai-pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian harus memberi penerangan secara terperinci dan jelas mengenai dasar-dasar dan program Kementerian agar golongan tersebut bersama-sama meninggikan lagi martabat golongan sasar.

Katanya, jihad perangi orang tengah bukanlah semata-mata dalam skop jual beli sahaja tetapi hendaklah menindas peranan orang tengah dari peringkat mula sebaliknya golongan sasar dan juga pertubuhan peladang kawasan perlu menguasai keseluruhan rantaian nilai.

Beliau berkata, hasil pengeluaran hanya akan kekal sebanyak 20% sekiranya golongan sasar mahupun pertubuhan peladang masih tidak menguasai keseluruhan rantaian nilai.

Oleh yang demikian, semua pihak terutamanya pertubuhan peladang dan persatuan nelayan perlu memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kesedaran kepada petani dan nelayan dan seterusnya membuktikan kepada golongan orang tengah bahawa golongan sasar mampu berdiri sendiri tanpa perlu bantuan dari mereka.

Beliau berkata demikian kepada lebih seribu pemimpin-pemimpin peladang dalam Program Bersama YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2 Mac 2015 di Bukit Gambang Resort, Kuantan, Pahang.

Dato` Sri Ismail Sabri berkata Kementerian terus memberi keistimewaan kepada golongan sasar dimana memberi peluang kepada golongan tersebut meluaskan pasaran dalam produk-produk penternak, peladang dan nelayan ke pasar tani seterusnya produk-produk tersebut mendapat tempat dan tidak perlu lagi bersaing dengan orang tengah atau pemborong.


Beliau juga telah mengumumkan dengan menaiktaraf kedai-kedai yang dimiliki oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian dimana kedai-kedai tersebut menjual produk-produk pertanian dan bumiputera.

Dalam pada itu, beliau juga meminta pesawah mengubah cara penanaman padi dan seterusnya dapat meningkatkan pemutuan padi bagi mengelakkan potongan pemutuan padi sebenar yang banyak.

Hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato` Haji Zainal bin Dahlan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Tuan Haji Azini bin Mohd Shahid dan Pengarah Pengurusan Wilayah MADA, Tuan Haji Mustafa bin Murat yang mewakili Pengurus Besar MADA.


No comments:

Post a Comment