Sunday, March 22, 2015

Program Pemulihan Tanah Jerlus Bantu Peladang MADA Mempertingkatkan Hasil Padi

Program Pemulihan Tanah Jerlus di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah membantu seramai 490 peladang-peladang MADA di Wilayah I dan Wilayah II yang akan memulakan proses penanaman padi pada hujung bulan ini atau Musim 1/2015.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata bagi Wilayah 1 (Kangar) dan Wilayah II (Jitra), membabitkan 13 peladang di PPK C-I, 270 peladang di PPK G-II dan 207 orang di PPK H-II.

Katanya, pada tahun 2013, MADA telah mengenalpasti seluas 8107 hektar kawasan sawah menghadapi masalah tanah jerlus, dengan seluas 2,853 hektar memerlukan tindakan pemulihan dan 5,254 hektar lagi berisiko akan mengalami fenomena tanah jerlus sekiranya tindakan pemulihan tidak diambil.
Tambah beliau, selama dua musim penanaman padi di dalam kawasan MADA dibatalkan bagi membolehkan kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan dimana melibatkan empat wilayah iaitu Kangar, Jitra, Pendang dan Kota Sarang Semut dengan penglibatan seramai 668 peladang.

Katanya lagi, walaupun peladang tidak dapat mengusahakan sawah bagi dua musim tersebut akan tetapi peladang yang terlibat telah dibayar wang ihsan oleh kerajaan dengan kadar RM 2,645.50 sehektar.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Semula Kawasan Pembatalan Dua Musim Penanaman Padi Program Pemulihan Tanah Jerlus di Kawasan Muda pada 22 Mac 2015 di Perkarangan Masjid, Kampung Naga, Kepala Batas.

Dato` Othman berkata dengan adanya program pemulihan tanah jerlus ini, purata hasil padi bagi kawasan yang dipulihkan dapat ditingkatkan sebanyak 32 peratus berdasarkan maklumat data daripada musim 1/2013 sehingga musim 1/2014.

Di akhir ucapan, beliau memberi nasihat kepada peladang-peladang yang hadir mempunyai perasaan cemburu kepada tanah iaitu menjaga tanah sedia ada dengan sebaik mungkin daripada perkara-perkara yang merosakkan tanah.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar(Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip serta Pengarah-pengarah bahagian MADA.

No comments:

Post a Comment