Monday, May 18, 2015

MADACorp Kembali Mencatat Keuntungan Sebanyak RM1.8 juta Bagi Tahun 2014

Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd atau kini dikenali sebagai MADACORP telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 bersama para pemegang saham bagi melaporkan kewangan beraudit tahun 2014 dan pencapaian syarikat.

Syarikat yang ditubuhkan pada 28 Jun 1975 ini bertujuan menjaga kepentingan peladang MADA di dalam sektor perniagaan. Pemegang saham adalah terdiri dari 27 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

MADACORP telah mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.79 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding kerugian sebanyak RM2.48 juta untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya (2013).

Pencapaian mencatat keuntungan dikira memberangsangkan disebalik penurunan perolehan sebanyak RM0.54 juta berdasarkan perolehan sebanyak RM31.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dibandingkan dengan perolehan sebanyak RM31.7 juta pada tahun sebelumnya (2013).

Perolehan disumbangkan melalui lima aktiviti utama syarikat iaitu pengeluaran dan pembekalan benih padi sah, pemasaran input pertanian, pembekalan jentera ladang, kontraktor pembinaan dan perniagaan bakeri serta produk kuih tradisional.

MADACORP telah menunjukkan prestasi kewangan baik dan pemulihan dana pemegang saham hasil dari Pelan Transformasi syarikat yang dilaksanakan pada awal tahun 2014. MADACORP telah merangka seterusnya melaksanakan Pelan Transformasi selama tiga tahun merangkumi tiga fasa utama iaitu konsolidasi, perkembangan dan pertumbuhan.

Hasil dari tahun pertama Pelan Transformasi menyaksikan MADACORP telah berjaya mencatat keuntungan dan mengubahalih dana pemegang saham MADACORP dari negatif RM6.04 juta kepada positif RM5.35 juta.

Oleh itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 ini, pihak MADACORP telah mencadangkan pembayaran dividen sebanyak 3.5% dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM252,772.33 dibayar kepada semua pemegang saham.

Penghargaan juga harus diberikan kepada kakitangan yang telah bekerja keras untuk tempoh 12 bulan lalu dan menghasilkan keputusan kewangan memberangsangkan yang telah dicatatkan ini.

Manakala bagi prospek tahun 2015, MADACORP menjangkakan peningkatan perolehan sekali ganda iaitu pada nilai RM61.2 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM3.80 juta. Prospek peningkatan perolehan ini bersandarkan kepada peningkatan kuota pengeluaran benih padi sah MADACORP di bawah Program Benih Padi Sah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) sebanyak 67% iaitu dari 8,000MT setahun kepada 13,352MT setahun bagi tahun 2015 sehingga 2016.

MADACORP juga telah dilantik sebagai pembekal racun di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi bermula tahun 2015. Selain itu, MADACORP juga telah disenarai akhir sebagai salah satu syarikat yang akan melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan tersier di bawah program NKEA (Pertanian) EPP10 di kawasan MADA.

MADACORP juga berbesar hati mengumumkan bahawa mereka telah menukar logo dan menjenamakan syarikat kami dari “SPPM” kepada “MADACORP”. Identiti baru syarikat adalah salah satu proses transformasi bagi menunjukkan kematangan, fungsi dan kepelbagaian syarikat. Tahun 2015 juga merupakan tahun ulangtahun penubuhan MADACORP ke-40.

Perancangan rapi yang di atur menunjukkan bahawa MADACORP sedang berada di landasan terbaik untuk merealisasikan Pelan Transformasi seterusnya mengembalikan kepercayaan para pemegang saham iaitu PPK yang mewakili peladang di kawasan MADA dan menyahut seruan kerajaan dan bersama-sama meningkatkan pendapatan peladang melalui jalinan kerjasama erat semua pihak yang berkepentingan di dalam industri padi negara.

No comments:

Post a Comment