Sunday, October 4, 2015

BPESA DAN BPTM JOHAN KIK MADA

Bahagian Perkhidmatan Empangan dan Sumber Air (BPESA) MADA dan Bahagian Perancangan dan Teknologi Maklumat (BPTM) MADA menjadi johan sempena Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat MADA yang diadakan pada 5 Ogos 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

BPESA yang menjenamakan kumpulan mereka Thrive menjadi johan bagi kategori teknikal dan BPTM pula sebagai XPERT johan bagi kategori pengurusan.

Kedua-dua kumpulan tersebut akan mewakili MADA ke majlis konvensyen KIK peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan diadakan pada bulan September tahun ini.

Konvensyen KIK tersebut disertai sebanyak 10 kumpulan yang mewakili setiap bahagian di dalam MADA dan diadili oleh dua juri dari INTAN Wilayah Utara (INTURA) dan konsultan KIK CEKS.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah di sempurnakan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Syed Zainuddin bin Syed Zain.

Di awal majlis konvensyen tersebut, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail bersetuju KIK di wujudkan dalam MADA kerana ia memberi peluang kepada anggota-anggota MADA memberi cadangan dan pandangan dalam aktiviti penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti jabatan.

Tambah beliau, dengan adanya KIK ini akan memberi faedah kepada semua pihak bukan sahaja kepada anggota MADA malah kepada organisasi MADA sendiri seperti meningkatkan daya saing organisasi, membolehkan organisasi menghasilkan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, memupuk kerjasama di kalangan warga organisasi, meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan selain menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan KIK dan menyemai dan menerapkan nilai etika kerja yang positif.

Secara dasarnya, Program KIK ini menyediakan teknik-teknik untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam organisasi yang juga merangkumi kaedah untuk membolehkan ahli-ahli KIK bertindak secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk yang baru melalui kemahiran imaginasi yang membawa kepada peningkatan perkhidmatan di jabatan, agensi dan organisasi.






No comments:

Post a Comment