Monday, October 5, 2015

MADA wakil MOA ke KIK Kebangsaan

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal mewakili Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada penghujung bulan November tahun ini.

Kumpulan Xpert dari Bahagian Perancang dan Teknologi Maklumat MADA yang membawa tajuk projek Pengurusan Rekod Projek Estet Padi ( NKEA)Kurang Bersistematik menjadi johan bagi kategori pengurusan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5 000.

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berlangsung selama dua hari bermula pada 8 September 2015 yang menampilkan 12 kumpulan dari jabatan dan agensi Kementerian yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori pengurusan dan kategori teknikal.

Sebanyak lapan kumpulan bertanding dalam kategori teknikal manakala selebihnya bertanding dalam kategori pengurusan.

MADA telah menghantar sebanyak empat kumpulan bagi pertandingan ini di mana dua kumpulan bagi kategori pengurusan dan dua kumpulan lagi bagi kategori teknikal.

CPM Dinamik dari Bahagian Mekanikal Elektrikal MADA telah merangkul Anugerah Pameran Terbaik di konvensyen tersebut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tuan Nogeh Anak Gumbek telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang sempena Majlis Sambutan Inovasi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 10 September 2015 di Dewan Serbaguna, MOA, Putrajaya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Haji Azini bin Mohd Shahid dan Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Amran bin Alias.

Beliau dalam ucapannya berkata, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) merupakan sesuatu yang positif kerana ia menunjukkan bahawa setiap warga Kementerian mempunyai potensi tersendiri dalam mengupayakan inovasi melalui kreativiti masing-masing.

Katanya, kreativiti dan inovasi memerlukan perubahan daripada budaya automasi, rutin dan keselesaan supaya budaya baharu dalam sektor awam bebas dari kepompong pemikiran yang jumud dan beku.

Tambah beliau, peranan pengurusan atasan adalah begitu penting dalam mencetuskan insitatif perubahan dan inovasi dalam sesebuah organisasi di mana ketua-ketua jabatan perlu merangka strategi untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menggalakkan persaingan yang sihat bagi menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang-bidang relevan dengan keperluan dan tuntuan semasa.

Oleh yang demikian, beliau mengajak setiap warga Kementerian untuk sama-sama berfikir di luar kotak untuk menghasilkan satu gagasan baru ataupun anjakkan paradigma dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan Kerajaan seterusnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment