Sunday, October 4, 2015

YPPPM MADA Anjur Seminar Kecemerlangan Ibu Bapa

Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan Ibu Bapa yang diadakan di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA pada 29 Ogos 2015.

Seminar yang merupakan kali pertama diadakan itu telah dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz dan telah dihadiri hampir 450 peserta.

Dato` Othman dalam ucapannya berkata seminar kecemerlangan ibu bapa tersebut sangat berfaedah kepada peserta yang terdiri daripada peladang-peladang MADA kerana ia memberi maklumat serta bimbingan dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.

Katanya, selain daripada itu, ibu bapa yang hadir diberi ruang dalam memantapkan lagi pengetahuan dalam kemahiran keibubapaan (parenting skills) dengan lebih lanjut.

Tambah beliau, MADA sentiasa menyediakan keperluan dan kemahuan kepada peladang-peladang di kawasan Muda bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi dalam semua bidang demi menjamin serta dapat meningkatkan kesejahteraan hidup peladang-peladang MADA.

Di akhir ucapannya, beliau berharap para peserta yang hadir dapat mengaplikasikan segala maklumat yang telah disampaikan oleh wakil Kementerian Pelajaran Malaysia dan janganlah mengharapkan sepenuhnya kepada guru-guru kerana peranan ibu bapa juga amat penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak sehingga berjaya.

YPPPM telah ditubuhkan pada tahun 1982 yang bertujuan untuk menggalak, mendidik, memaju dan membanttu kemajuan pelajaran anak-anak peladang di kawasan Muda disamping menubuhkan dan menyenggara biasiswa, dermasiswa dan pinjaman bantuan kewangan dalam melanjutkan pelajaran selain melahirkan lebih ramai golongan belia di kawasan Muda berpendidikan tinggi dalam bidang pelajaran dan kemahiran.


No comments:

Post a Comment