Tuesday, January 7, 2014

Lawatan Kerja Pengurus Besar MADA ke Empangan Pedu dan Tapak Pendaratan Ikan, Tasik Muda

Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh telah melakukan lawatan kerja ke Empangan Pedu dan Tapak Pendaratan Ikan Tasik Muda pada 2 Januari 2014. Lawatan kerja tersebut adalah bertujuan meninjau permasalahan di Pos Kawalan Crest Wall, Empangan Pedu serta status pembangunan di Tapak Pendaratan Ikan Tasik Muda. Dalam lawatan tersebut, Jurutera Kanan Pengurusan Empangan/ Pengarah Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air (BPESA) MADA, Tn. Hj. Aznan bin Ismail memberi maklum bahawa pihak BPESA sedang mengambil tindakan membaiki aduan kerosakan di pos kawalan tersebut dan dijangka siap pada pertengahan Januari 2014. Tambah beliau, pihak BPESA juga sedang mengatur kerjasama dengan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi menjalankan kajian dan penyiasatan kestabilan/ keselamatan cerun di ketiga-tiga kawasan penempatan pasukan keselamatan empangan MADA termasuk Pos Kawalan Crest Wall Empangan Pedu Dato` Pengurus Besar MADA kemudiannya di bawa ke Tapak Pendaratan Ikan Tasik Muda bagi meninjau status pembangunan di kawasan tersebut khususnya Bangunan Galeri Lebah yang telah diserahkan kepada pihak MADA oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah pada 17 Disember 2013 bagi tujuan penubuhan Pusat Interpretasi/Informasi. Tn. Hj. Aznan memaklumkan selepas perbincangan bersama Dato` Pengurus Besar MADA dan juga Puan Pegawai Daerah Sik, Puan Rozaina binti Dato` Paduka Haji Radzi, Bangunan Galeri Lebah tersebut yang diserah kepada pihak MADA (BPESA) akan dibaik pulih dengan segera. Pihak BPESA MADA akan bekerjasama dengan pihak World Wildlife Foundation (WWF), Jabatan Hutan, Majlis Daerah Sik dan agensi lain yang berkaitan untuk pengisian maklumat di Pusat Interpretasi/Informasi. Menurut beliau, Bangunan Galeri Lebah dan kawasan sekitarnya berpotensi untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan rehat (R&R) orang ramai terutamanya kepada warga Thailand yang menggunakan Lebuhraya TEKIH dari Durian Burung ke Baling/Pulau Pinang. Sekiranya kawasan persinggahan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung luar dan orang tempatan, maka kawasan tersebut berpotensi dijadikan salah satu destinasi pelancongan laluan keluar masuk ke Tasik Muda. Walaubagaimanapun, perkara ini akan dibawa ke mesyuarat rasmi bersama pihak Pegawai Daerah Sik terlebih dahulu untuk memaklum dan bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain di peringkat Daerah Sik. Turut menyertai lawatan tersebut adalah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Kedah dan wakil daripada Persatuan Alam Sekitar Cawangan Kedah.

No comments:

Post a Comment