Saturday, January 25, 2014

Majlis Amanat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2014

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia telah menganjurkan Majlis Amanat Menteri 2014 pada 13 Januari 2014 bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor. Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyampaikan Amanat Menteri 2014 kepada lebih seribu orang warga Kementerian, dari pelbagai jabatan dan agensi serta bahagian di bawah Kementerian. Dalam amanat tersebut, Dato` Sri Ismail Sabri bermula dengan menyatakan pencapaian yang telah dicapai oleh Kementerian dalam tahun 2013, diantaranya ialah pencapaian Jabatan Pertanian yang telah mengenalpasti seluas 110 ribu hektar tanah terbiar di seluruh negara, yang boleh digunakan untuk projek-projek pertanian; pencapaian Kementerian dalam menetapkan dasar 50-50, iaitu 50% pengeluaran hasil laut dan 50% hasil akuakultur; pencapaian penanaman padi Aerob oleh MARDI yang telah dapat menjimatkan penggunaan air dan kos penanaman; pelaksanaan penguatkuasaan oleh Jabatan Perikanan dalam penggunaan pukat tunda kepada lebih 38mm bagi mengawal tangkapan ikan; dan juga kewujudan “war room” di Kementerian, yang mana semua statistik-statistik penting & terkini Kementerian dapat disalurkan terus dan dipaparkan melalui alat telekomunikasi seperti tablet dan smartphone. Matlamat utama beliau bagi tahun 2014 pula adalah supaya semua pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjihad bersama-sama beliau bagi memerangi orang tengah yang sememangnya golongan tersebut sering mengambil kesempatan dan keuntungan dari petani, peladang, penternak dan nelayan dengan cara yang mudah dan tidak adil. Selain itu, melalui Program Agropreneur Muda, pihak kementerian juga telah meminta TEKUN dan Agrobank mengeluarkan “pre-approved loan” bernilai RM100,00 – RM300,000 kepada golongan usahawan muda bagi memudahkan mereka bergiat cergas dan aktif sebagai agropreneur. Tambah beliau, setiap jabatan dan agensi hendaklah merangka dan melaksanakan satu program setiap bulan yang menjurus kepada golongan sasar iaitu petani, peladang, penternak dan nelayan serta agropreneur yang boleh memberi kesan positif dan dapat mencapai keperluan kumpulan tersebut. Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa setiap jabatan ataupun agensi perlu mempunyai pegawai penerangan seranta yang bertanggungjawab untuk menerangkan pelbagai informasi terkini dalam bidang pertanian secara terperinci supaya golongan sasar tidak lagi ditindas dan dimanipulasi oleh golongan orang tengah. Beliau berharap dengan kedatangan tahun baru 2014 ini, semua warga kerja Kementerian sentiasa bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan sifat kekeluargaan, berubah ke arah yang lebih baik, mengubah cara kerja yang lebih efisyen dan sistematik, serta berusaha keras dalam membela golongan sasar. Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Pembangunan), Dato` Dr Baharom bin Jani, dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Perancangan), Dato` Haji Raihan bin Sharif. Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan seramai 40 orang pegawai dan kakitangan MADA dari pelbagai peringkat juga telah menghadiri majlis Amanat Menteri 2014 ini.

No comments:

Post a Comment