Saturday, January 25, 2014

Majlis Amanat Pengerusi MADA Tahun 2014

Majlis Amanat Pengerusi Tahun 2014 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, MADA telah diadakan pada 23 Januari 2014 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah. Majlis yang dihadiri seramai 500 pegawai MADA yang meliputi Ibu Pejabat, Wilayah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menerima amanat yang disampaikan oleh Pengerusi MADA, Yang Berhormat Dato` Othman bin Haji Aziz. Dalam Amanat tersebut, Dato` Othman bin Haji Aziz mengimbau kejayaan yang telah dicapai oleh MADA sepanjang tahun 2013 dan antaranya ialah purata hasil padi meningkat ke 6.56 tan/hektar pada musim 1/2013 berbanding purata hasil sebelumnya; membangunkan seramai 2,309 usahawan dari industri asas tani dan juga asas tani yang keseluruhannya mencapai nilai jualan sebanyak RM 81 juta. Selain itu, MADA juga mendapat penarafan 5 bintang dalam penilaian penggunaan laman web di Malaysia pada tahun 2013; dan memenangi beberapa anugerah semasa perayaan Hari Peladang dan Nelayan Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Negeri Kedah serta Negeri Perlis. MADA juga berjaya mewujudkan MADATV sebagai rangkaian penyebar maklumat kepada orang ramai di samping kepada para peladang & usahawan di Kawasan Muda. Beliau menyeru kepada warga MADA untuk bersama-sama menangani orang tengah selaras dengan perancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; ini bertujuan membela nasib petani khususnya dalam sub-sektor padi & beras. Beliau juga meminta MADA meneruskan program NBOS (National Blue Ocean Strategy) dan program “My Kampung My Future” serta melaksanakan Program “Touch Points” yang boleh memberi impak positif dalam menyelesaikan masalah rakyat. Katanya lagi, beberapa langkah telah diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Yang Berhormat Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob; di antaranya, penyeragaman harga padi kepada RM1200/tan di Semenanjung Malaysia; pemindahan padi antara negeri dibenarkan tertakluk kepada permit yang dikawal oleh Pihak Kawal Selia Padi Beras; dan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan sebagai dana kebajikan dan pinjaman kepada petani; serta memantapkan sistem pengagihan Beras ST 15 kepada peladang, penternak dan nelayan, serta masyarakat berpendapatan rendah. Bagi perancangan masa depan MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz menyatakan bahawa MADA akan mengadakan makmal bagi membincangkan ‘Transformasi MADA’ yang akan disertai oleh pegawai dan peladang bagi menentukan hala tuju MADA yang bersesuaian dengan perubahan masa kini dan masa depan. Beliau juga mencadangkan agar MADA mengadakan program tahunan seperti “Mai Turun Bendang” yang bertujuan memberi pengalaman baru kepada golongan muda. MADA juga katanya, perlu mencipta lagu rasmi MADA yang akan memberi semangat dan rasa kekitaan dalam MADA. Katanya lagi, MADA perlu mencipta “tag line” seperti “MADA NADI JELAPANG PADI NEGARA” bagi menggambarkan kepentingan MADA dalam menguruskan industri padi yang mana beras sememangnya menjadi makanan ruji harian penduduk Malaysia, dan menjadi penyambung denyutan nafas dalam kehidupan rakyat Malaysia. Beliau tidak lupa menasihati warga MADA agar jangan merasa selesa dengan pencapaian yang sekarang sebaliknya sentiasa proaktif, inovatif, komited, bertanggungjawab dan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas agar organisasi MADA lebih cemerlang dari tahun sebelumnya. Di samping itu, beliau berharap agar warga MADA sentiasa bekerjasama antara satu sama lain, mengamalkan teladan yang baik, berhemah dan berintegriti. Tambah beliau lagi, warga MADA hendaklah menggunakan sumber media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, email dan lain-lain secara bijaksana dalam melaporkan kepada masyarakat berkaitan maklumat-maklumat MADA yang berfaedah. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Dato` Haji Roslee bin Baharom dan Timbalan Pengurus Beras (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip.

No comments:

Post a Comment