Tuesday, January 7, 2014

Program Turun Padang Pengerusi MADA dan Taklimat Bahagian Industri Asas Tani & Bukan Padi MADA.

Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA telah melakukan satu program taklimat dan turun padang kepada Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz. Dalam taklimat tersebut, Dato` Pengerusi MADA berasa amat berbangga dengan hasil, produk dan kejayaan para usahawan MADA yang dibawah seliaan Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA. Tambah beliau, daripada seramai 2,309 orang usahawan, pihak MADA telah mendapat hasil jualan melalui Industri Asas Tani sebanyak RM 81 juta pada tahun 2013 dan ia merupakan peningkatan sebanyak 10% dari tahun 2012. Antara produk hasil jualan Industri Asas Tani adalah buah mempelam & hasil hilirannya, kuih tradisional, kraftangan, jerami, agropelancongan serta homestay dan banyak lagi. Beliau berkata pihak MADA akan mempertingkatkan hasil jualan pada tahun 2014 dengan sasaran RM 90 juta melalui program menaik taraf produk dalam aspek pemasaran, harga, pembungkusan dan juga pengeluaran. Harapan beliau juga adalah supaya keahlian usahawan di bawah bimbingan MADA akan meningkat, yang sememangnya bertujuan membantu golongan tersebut menambahkan pendapatan. Selain itu, MADA juga akan menekankan dalam aspek promosi terutamanya terhadap Pusat Kraftangan dan Jualan Industri Asas Tani di Pendang yang boleh di takrifkan sebagai pusat sehenti kepada para pelancong dari dalam dan luar negara. Katanya, ini memerlukan kerjasama dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan juga Majlis Daerah Pendang. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program turun padang dan taklimat Bahagian Industri Asas Tani & Bukan Padi bersama pengurusan tertinggi MADA di tiga tempat iaitu Pusat Pemprosesan Tobiar Gold di Napoh, Pusat Kraftangan dan Jualan Industri Asas Tani (IAT) Pendang, dan Ladang Mempelam Tobiar pada 5 Januari 2013. Dalam lawatan tersebut juga, Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Encik Zulkifli bin Romli telah menggariskan enam (6) teras program bahagian tersebut iaitu pembangunan modal insan, peningkatan kapasiti pengeluaran, pemodenan pemprosesan dan peningkatan infra dan peralatan, persijilan dan akreditasi, penyelidikan dan pembangunan produk serta promosi dan pemasaran. Turut bersama dalam lawatan tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Roslee bin Baharom, dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.

No comments:

Post a Comment