Monday, March 24, 2014

Akuakultur jana ekonomi Pasir Salak

PASIR SALAK 24 Mac - Ternakan ikan dalam sangkar atau akuakultur bakal menjadi sumber ekonomi utama di Pasir Salak selain padi dan sawit, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, aktiviti eko-pelancongan juga akan menjadi antara sumber ekonomi baharu di kawasan itu. Menurut beliau, kedua-dua aktiviti ekonomi itu adalah antara cadangan yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Ekonomi dan Sosial Pasir Salak yang sedang disediakan. "Walaupun pelan induk itu masih belum siap sepenuhnya, kita sudah ada idea apa sektor yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan ini," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja pegawai tertinggi Kementerian Pertanian dan Asas Tani ke kawasan Parlimen itu semalam. Lawatan kerja sehari itu yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah antara lain melawat projek naik taraf pengairan Sungai Manik, ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Perak dan pusat pengumpulan FAMA di Changkat Lada. Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, walaupun banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasannya, sudah sampai masanya untuk kerajaan mengadakan lebih banyak program yang boleh meningkatkan lagi pendapatan rakyat. Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan akuakultur dan eko-pelancongan. "Bagaimanapun keputusan akhir mengenai lokasi itu akan diputuskan selepas mendapat nasihat pakar dari kementerian," katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di Pasir Salak supaya menyambut baik program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. "Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan moral tetapi perlu sama-sama menjadi peserta yang aktif," ujar beliau. Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan RM44 juta untuk projek menaik taraf pengairan Sungai Manik. Beliau berkata, RM7.3 juta akan dibelanjakan tahun ini dan tahun depan, manakala bakinya akan dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula 2016. SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140325/wu_01/Akuakultur-jana-ekonomi-Pasir-Salak#ixzz2wwLJ2im3 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment