Tuesday, March 11, 2014

Parlimen : Cadang Longgar AP Beras

Kerajaan bercadang melonggarkan permit import (AP) supaya rakyat tidak terbeban, kata Dato` Seri Mohd Najib Razak. Perdana Menteri berkata, usaha ke arah itu akan dipertimbangkan kerana permit sama bagi makanan lain diliberalisasikan. “Dalam soal beras, kami sedang kaji perkara ini untuk melonggarkan perkara itu bagi pastikan ia tidak merugikan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zahidi Abidin (BN-Padang Besar) pada Sidang Dewan Rakyat, pada 11 Mac 2014. Datuk Zahidi sebelum itu meminta penjelasan sama ada kerajaan berhasrat untuk melonggarkan AP mengimport bahan makanan termasuk beras yang menjadi makanan ruji rakayat negara ini. Datuk Seri Mohd Najib berkata, kerajaan membuat ketetapan melonggarkan semua AP barang makanan diimport. “Sekarang siapa yang hendak import bahan makanan boleh memohon daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, tiada sekatan,” katanya. Menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah konkrit meringankan beban dan kos sara hidup yang meningkat setiap hari, beliau berkata, kerajaan mengambil tujuh langkah antaranya peruntukan hampir RM 40 bilion membabitkan pelbagai subsidi, insentif serta bantuan kepada rakyat. Beliau berkata beberapa punca dikenal pasti menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang antaranya berpunca daripada manipulasi harga, keadaan bekalan, kelemahan rantaian bekalan dan kebergantungan kepada barangan diimport selain faktor cuaca. “Mekanisme penstabilan harga barangan ini perlu diperkemaskan bersesuaian keadaan semasa,” katanya. Mengenai rasionalisasi subsidi yang disoal Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Datuk Seri Mohd Najib berkata, kerajaan melakukannya secara berperingkat. “Hasil tambahan kerajaan itu kita hendak bagi pada rakyat sebagai mengurangkan beban fiskal negara, sebahagian besarnya kita pulangkan balik kepada rakyat melalui penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan langkah yang lain,” katanya. Beliau berkata kerajaan sedar kaedah pemberian subsidi membawa kepada banyak ketirisan walaupun kerajaan menambah bilangan pegawai penguat kuasa, ia tidak boleh menutup masalah itu. “Sebab itu kerajaan kata langkah jangka panjang, kita mesti beralih kepada subsidi bersasar berbanding subsidi berpukal sebab kita dapat tentukan yang dapat faedah ialah rakyat Malaysia bukan warga asing, pelancong dan penyeludup,” katanya. SUMBER : HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment