Monday, March 10, 2014

Perhimpunan Bulanan Bersama Pengerusi MADA

Perhimpunan Bulanan MADA bersama Pengerusi MADA, YB Dato` Othman bin Haji Aziz telah diadakan pada 6 Mac 2014 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Perhimpunan bersama Pengerusi MADA yang merupakan kali kedua untuk tahun ini diadakan bertujuan untuk mendekati dan menyampaikan amanat kepada kakitangan MADA khususnya kakitangan di bahagian teknikal seperti Merinyu Taliair, Operator Garisan, Operator Pam dan Operator Alator. Dalam perhimpunan tersebut, YB Dato` Othman bin Haji Aziz mengucapkan tahniah dan syabas kepada kakitangan MADA yang hadir berikutan kakitangan tersebut merupakan barisan hadapan yang menjaga nama baik MADA di mata petani dan juga sentiasa memastikan taliair dalam industri padi dalam kawasan Muda sentiasa teratur. Selain itu, beliau menyeru kepada kakitangan yang hadir dalam perhimpunan tersebut sentiasa prihatin dengan perkembangan semasa dan bersama-sama berganding bahu dalam memerangi orang tengah dalam sektor padi selaras dengan hasrat dan harapan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Tambahnya, kakitangan MADA seharusnya jangan merasa selesa dengan pencapaian yang sekarang sebaliknya sentiasa proaktif, inovatif, komited, bertanggungjawab dan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas agar organisasi MADA lebih cemerlang dari tahun sebelumnya. Beliau turut menyampaikan Sijil Pengiktirafan kepada ahli-ahli Cyber Team MADA, Sijil Penghargaan kepada sukarelawan sempena bantuan banjir di Terengganu dan Anugerah Penghargaan yang telah dicapai oleh MADA. Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Dato` Haji Roslee bin Baharom dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip.

No comments:

Post a Comment