Sunday, March 23, 2014

Program Penanaman Semula Pokok Bantu Penduduk Kampung

RAUB, 23 Mac (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM28 juta bagi menjayakan ‘Program Penanaman Semula Buah-buahan Terpilih’ bagi tempoh tiga tahun dalam usaha melonjakkan pendapatan penduduk kampung dan pekebun kecil di negara ini. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menerusi program itu, juga ia mampu meningkatkan nilai eksport negara sekaligus mengurangkan defisit perdagangan buah-buahan yang melebihi RM1 bilion. “Pada masa kini keluasan tanaman buah-buahan negara ialah 205,467 hektar dengan jumlah pengeluaran 1.6 juga metrik tan. “Pada tahun 2012, kita mengimport RM1.8 bilion buah-buahan manakala eksport adalah RM615 bilion dan diharap dengan adanya program ini, ia mampu meningkatkan pengeluaran buah-buahan bermutu sekaligus mengurangkan nilai import,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong, Kampung Pamah Rawas, di sini Ahad. Menurutnya, program penanaman semula itu disasarkan kepada penduduk kampung yang mempunyai pokok buah-buahan di sekeliling rumah mereka dan petani yang mempunyai kebun buah-buahan kurang daripada lima hektar. Ismail berkata program itu dianggarkan disertai 6,000 pekebun dan penduduk kampung dengan keluasan kebun 4,666 hektar. Mereka yang memiliki kebun akan diberikan bantuan minimum RM1,000 hingga RM6,000 per hektar dalam tempoh tiga tahun bergantung kepada penilaian jawatankuasa pelaksana peringkat daerah. Bantuan juga akan meliputi benih berkualiti, input pertanian (baja dan racun), alatan pertanian dan infrastruktur asas seperti perparitan, jalan kebun dan pembersihan kawasan. Bagi penduduk kampung yang mempunyai pokok buah-buahan di sekeliling rumah, mereka juga akan diberikan sagu hati untuk setiap pokok yang ditebang sebelum teknik cantuman dewasa dengan benih bermutu tinggi dijalankan pada pokok-pokok itu. Mereka yang berminat boleh memohon menerusi pejabat pertanian di daerah masing-masing. Ismail berkata buah-buahan negara ini mempunyai potensi untuk dipasarkan hingga ke luar negara namun banyak hasil buah-buahan orang kampung tidak dapat dipasarkan kerana kualiti tidak menepati piawaian. “Sebab itu program penanaman semula ini dilaksanakan dan kementerian beri pampasan kepada penduduk kampung untuk tebang pokok lama dan tanam pokok baharu,” katanya Beliau berkata antara buah-buahan yang dipilih dan mempunyai potensi besar untuk dieksport ialah Durian Musang King (D99 dan D24); Cempedak Kuang (4 dan 5); Mangga Harumanis dan Chokanan, Rambutan Rong Rien dan Anak Sekolah; serta Duku Langsat Terengganu. Kesemua buah-buahan ini diberikan tumpuan oleh kementerian memandangkan ia mendapat laluan pasaran eksport dan dalam masa sama kementerian akan bekerja sama dengan Intelektual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) untuk mendaftarkan beberapa jenis buah-buahan itu, katanya.
SUMBER : BERNAMA & MOA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1024098

No comments:

Post a Comment