Monday, March 10, 2014

Briged Sukarelawan Jerlun Pelengkap Agensi Kerajaan

Ahli Parlimen Jerlun Dato` Othman bin Haji Aziz telah melancarkan Briged Sukarelawan Jerlun yang merupakan pelengkap kepada agensi kerajaan khususnya kepada agensi kecemasan dan keselamatan. Briged Sukarelawan Jerlun ini dilancarkan adalah bertujuan sebagai persediaan awal dalam memberi bantuan kepada mangsa sekiranya terdapat musibah atau bencana seperti kebakaran, kemalangan jalan raya, ribut taufan dan banjir yang berlaku di kawasan tersebut. Beliau yang juga Pengerusi MADA, berkata seramai 80 anggota pada ketika ini akan menerima latihan bantuan kecemasan dan keselamatan dari agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia. Tambah beliau lagi, pasukan tersebut buat permulaan ini hanya menumpukan perhatian dan memberi bantuan di kawasan Parlimen Jerlun dan sekiranya mendapat tindak balas yang positif pasukan ini akan di perluaskan ke kawasan-kawasan lain. Beliau berharap dengan adanya pasukan Briged ini akan memberi semangat kepada golongan muda khususnya golongan belia, seperti mana yang sedang diterapkan oleh pihak ADUN Kota Siputeh, Parlimen Jerlun dan juga pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah dalam usaha membantu dari semasa ke semasa, sehingga pasukan tersebut mampu berdiri setanding dengan agensi pertahanan dan penyelamat yang lain. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Briged Sukarelawan Jerlun pada 3 Mac 2014 di Kampung Pida 4, Tunjang.

No comments:

Post a Comment