Sunday, March 30, 2014

Pembenihan Awan di Kedah, Selangor

Melaka Tengah: Pembenihan awan akan dilakukan di Kedah dan Selangor berikutan dua empangan di negeri itu berada di bawah paras kritikal. Empangan berkenaan ialah Empangan Muda, Kedah dan Empangan Klang Gate, Selangor. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata pembenihan awan perlu dilakukan segera bagi mengelak bekalan air ke beberapa kawasan di negeri berkenaan terjejas jika tiada hujan dalam tempoh terdekat. “Bagi mengatasi masalah empangan itu yang berada di bawah paras kritikal, kita akan melakukan pembenihan awan khas berdasarkan kepada permintaan. “Ia akan dilakukan jika ada awan kumulus, selain ada 85 peratus peluang untuk hujan. Operasi itu akan terus dilakukan sehingga air melebihi paras kritikal,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas permintaan Kerajaan Kedah supaya pembenihan awan dilakukan di negeri itu berikutan cuaca yang baik ketika ini seterusnya membantu mengatasi masalah kemarau sejak Januari lalu. Di Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Azhar Ishak, berkata pihaknya merancang melakukan pembenihan awan di Utara Semenanjung pada Jumaat dan Sabtu ini bergantung kepada keadaan atmosfera. Atmosfera tak stabil “Bagaimanapun, ketika ini keadaan atmosfera di Utara Semenanjung masih tidak stabil kerana kurang pembentukan awan yang sesuai,” katanya. Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) belum memutuskan sama ada catuan air berjadual akan dihentikan berikutan paras empangan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Johor dan Negeri Sembilan masih di paras membimbangkan. Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua, berkata operator air di semua negeri di Semenanjung dan Labuan masih memantau paras sungai dan empangan di negeri masing-masing. “Kami akan terus melaksanakan catuan air berjadual jika keadaan masih kritikal. “Hujan sejak minggu lalu meningkatkan paras sungai yang membekalkan air mentah ke loji rawatan air di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Berikutan itu, operator air menarik balik pengagihan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di negeri berkenaan,” katanya. SUMBER : BERITA HARIAN http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembenihanawandiKedah_Selangor/Article/

No comments:

Post a Comment