Sunday, May 11, 2014

Hari Bertemu Pelanggan Wilayah III Dekatkan MADA Dengan Peladang

Hari Bertemu Pelanggan Wilayah III MADA yang diadakan pada 11 Mei 2014 di Perkarangan PPK E-III, Ko`bah, Pendang bertujuan bagi mendekatkan MADA bersama peladang-peladang di Wilayah III, di samping mereka dapat berurusan secara langsung dengan MADA, serta menyelesaikan masalah berhubung dengan perkhidmatan yang disediakan oleh PPK-PPK MADA mahupun jabatan atau agensi yang lain.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata program ini juga dapat menerima maklumbalas segera dari pesawah-pesawah dan golongan tersebut tidak perlu menggunakan saluran akhbar untuk membuat aduan agar permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cepat dan efisen tanpa perlu membelakangkan pengurusan MADA.

Beliau berkata, bagi mentadbir urus PPK yang terbaik merupakan faktor penting dalam mencapai lima teras utama Misi Nasional iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang berterusan secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksaan dimana ia merangkumi dasar dan rangka kerja pelaksanaan bagi mencapai visi dan objektif negara menjelang tahun 2020.

Katanya lagi, usaha bagi mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat umum bahawa sektor pertanian dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran dan bekerja dalam persekitaran kotor serta bidang yang tidak memberi pendapatan lumayan adalah salah satu cabaran bagi MADA dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hadapi dan untuk diatasi pada masa kini.

Tambah beliau, tahun 2014 merupakan tahun di mana pihak Kementerian telah mengisytiharkan jihad memerangi orang tengah di mana MADA dan PPK harus berpandangan positif dan berinovatif dalam memberikan perkhidmatan terbaik dalam membasmi orang tengah yang telah mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan daripada hasil usaha daripada peladang, penternak dan nelayan.

Katanya, beliau yakin warga kerja MADA dan PPK dapat menerima cabaran dalam memerangi orang tengah dan mempersiapkan diri bagi menumpukan segala usaha, tenaga dan firkiran bagi melaksanakannya dengan cara terbaik.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan Wilayah III MADA pada 11 Mei 2014 di Perkarangan PPK E-III, Ko`bah, Pendang.

Beliau juga sempat menyeru kepada masyarakat khususnya peladang-peladang agar mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak MADA bagi memastikan pengeluaran padi di tahap maksimum dan sistematik, dalam usaha mencapai hasrat yang selaras dengan tag-line MADA iaitu MADA - Nadi Jelapang Padi Negara.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah MADA, Encik Fouzi bin Ali, Pengarah Bahagian Industri Padi MADA, Tuan Haji Kamarudin bin Haji Dahuli, Pengurus Wilayah II MADA, Encik Dzulkifli bin Yaakub dan Pengurus Wilayah III MADA, Encik Rozaidi bin Sharee.

No comments:

Post a Comment