Road to MAHA 2014 Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan di Padang Awam Selising, Pasir Puteh, Kelantan bermula pada 15 sehingga 17 Mei 2014.
Program yang dijalankan selama tiga hari dua malam di daerah tersebut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan masakan dan gubahan, pertandingan vespa klasik, pertandingan dam aji, pertandingan burung candik, pertandingan kolaj kanak-kanak, dan banyak lagi.
Pameran dan jualan produk-produk usahawan di bawah bimbingan jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga tidak ketinggalan menyertai program tersebut yang semestinya bagi membantu golongan peladang, penternak dan nelayan dalam meningkatkan pendapatan di samping menyampaikan informasi dan terknologi terkini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Haji Tajuddin bin Abdul Rahman berkata tujuan program tersebut diadakan adalah bagi mempromosikan MAHA 2014 yang akan diadakan pada 20 sehingga 30 November 2014 bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor.
Katanya, selain dari mempromosikan MAHA 2014, ia juga bertujuan bagi memperkenalkan kepada masyarakat setempat khususnya golongan peladang, penternak dan nelayan akan teknologi-teknologi terkini dalam industri pertanian yang boleh dimanfaatkan selaras dengan tema MAHA 2014 iaitu :
‘Agroteknologi Sebagai Pemangkin Transformasi’.
Tambah beliau, kerajaan tidak penah berputus asa dalam membantu masyarakat tani khususnya golongan Melayu dalam meningkatkan pendapatan selain meningkatkan taraf hidup sosial setanding dengan bangsa lain.
Katanya lagi, beliau yakin dengan kunjungan pengunjung yang bakal hadir sempena MAHA 2014 ini adalah seramai 5 juta pengunjung, dimana ianya melebihi dari jumlah pengunjung pada tahun 2012 iaitu seramai 3 juta orang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Road To MAHA 2014 Peringkat Negeri Kelantan pada 15 Mei 2014.
Di majlis tersebut beliau juga turut menyerahkan Obor MAHA 2014 kepada Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail sebagai simbol giliran MADA untuk mengendalikan Program Road To MAHA Peringkat Negeri Kedah yang akan diadakan pada 29 sehingga 31 Mei 2014.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mohd Arif bin Ab Rahman, dan Pengerusi KADA, YB Datuk Haji Md Alwi bin Haji Che Ahmad.
No comments:
Post a Comment