Wednesday, May 7, 2014

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK-PPK MADA Tahun 2014

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Tahun 2014 telah diadakan pada 5 Mei 2014 bertempat di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata objektif utama majlis tersebut diadakan adalah memberi penjelasan mengenai agenda Program Transformasi Agromakanan (ATP) dan penglibatan PPK dalam sektor Agromakanan Negara kepada pemimpin peladang serta memberi pengiktirafan kepada PPK yang bertindak sebagai pusat kegiatan ekonomi sosial peladang, pusat transformasi teknologi tanaman padi, badan koperatif, pengurusan perniagaan ahli dan juga sebagai pusat perkhidmatan bekalan input pertanian kepada pesawah-pesawah di kawasan mereka.

Katanya, majlis kali ini merupakan satu sejarah dalam MADA di mana buat kali pertamanya majlis perasmian mesyuarat agung PPK diadakan secara serentak untuk kesemua 27 buah PPK dalam MADA dan beliau berharap program ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan MADA.

Beliau berasa sangat berbangga akan pencapaian PPK-PPK MADA dimana keuntungan bersih meningkat setiap tahun dan pada tahun 2013, di mana sebanyak lima buah PPK MADA telah memperolehi keuntungan melebihi RM 500,000 setahun.

Katanya, pencapaian yang dicapai oleh PPK-PPK MADA merupakan hasil komitmen MADA bersama 27 buah PPK melaksanakan program-program yang dirancang oleh kerajaan seperti Projek Estet Padi di bawah Program EPP 10 NKEA.

Tambah beliau, pelbagai cabaran perlu dihadapai dan ditempuhi oleh MADA dan juga PPK bagi mencapai kejayaan dalam memperoleh keuntungan yang tinggi, antaranya ialah meningkatkan purata hasil bersih Projek Estet Padi EPP 10 NKEA untuk mencapai 8 tan sehektar menjelang tahun 2020, memasarkan sebanyak 70% hasil padi petani MADA melalui PPK dan juga program pemulihan tanah jerlus.

Beliau menyarankan agar pemimpin-pemimpin peladang sentiasa menggiatkan kempen yang berkaitan, agar semua peladang yang terlibat dengan sawah di Kawasan Muda menjadi ahli PPK bagi menikmati pelbagai faedah dan insentif yang disediakan bagi membantu ahli-ahli PPK.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah dan juga menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Maktab Koperasi Malaysia (MKM).
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Maktab Koperasi Malaysia, Dato` Haji Md. Yusof bin Shamsudin, Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, wakil Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA, Tuan Haji Ahmad bin Shafie, Pemangku Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia, Puan Norwatim bt. Haji Abdul Latif, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail dan Pengarah Bahagian Pengurusan Institusi Peladang MADA, Tuan Haji Mustafa bin Murat.

No comments:

Post a Comment