Tuesday, April 29, 2014

Perdana Menteri Di Ijtimak Pondok Malaysia 2014

Ijtimak Pondok Malaysia 2014 telah diadakan bermula pada 23 sehingga 24 April 2014 bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.

Program yang dirancang oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia ini bertemakan Institusi Pondok Di Alaf Baru : Cabaran dan Hala Tuju bertujuan untuk membincangkan kedudukan, permasalahan dan masa depan intitusi pondok.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato` Seri Mohd Najib bin Tun Razak berharap, warga pondok akan terus memainkan peranan sebagai benteng mempertahan kedaulatan dan kesucian Islam sebagai Ad-Din, berteraskan Perlembagaan Negara.

Beliau juga berharap institusi pondok tetap aktif dalam menyuarakan nasihat beraspirasikan ajaran agama yang murni tanpa terikat kepada sentimen politik kepartian.

Katanya, para Umarak (pemerintah) sebagai pemikul amanah kepimpinan pentadbiran memang sentiasa mengharapkan pandangan, nasihat dan doa restu para Ulama dalam menjalankan tugas mereka, akan tetapi situasi yang sebegini akan sukar dibentuk jika suara nasihat ataupun teguran yang dikemukakan terlalu menyerupai nada dan corak digunakan oleh persaingan politik kepartian.

Tambahnya, para ulama harus menasihati dan menegur sesiapa sahaja tetapi sudah tentu dengan kaedah dan budaya yang sesuai dengan wibawa dan kedudukan mereka yang tinggi dalam neraca Islam.

Beliau turut melahirkan kebimbangan tentang berlakunya ajaran liberalisme, sekularisme, pluralisme dan fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam sejak kebelakangan ini dan mengharapkan rakyat Malaysia percaya bahawa kerajaan menolak sebarang ancaman terhadap akidah umat Islam, dan sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan antara rakyat. Kita juga tegas menolak sebarang gerakan dan fahaman yang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 pada 24 April 2014 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Menteri Besar, Dato` Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Profesor Emeritus Dr. Surin Pitsuwan dari Thailand.

Monday, April 28, 2014

Perdana Menteri Merasmikan RTC Kedah

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) pertama di Negeri Kedah telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Razak di Napoh, Kubang Pasu pada 24 April 2014.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan supaya rakyat terus mendapat manfaat daripada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) termasuk kemungkinan menghubungkannya dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Tambah beliau, kerajaan akan terus melaksanakan program latihan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan kemahiran, termasuk kepada mereka yang berhasrat membabitkan diri dengan agro-perniagaan, menjadi petani moden atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau berkata RTC mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, di mana harga jualan barangan yang berpatutan menyebabkan tiada langsung aduan oleh pembeli diterima pihak berkuasa dan ini selaras dengan tujuan sebenar penubuhan RTC.

Katanya, RTC Kedah di Napoh merupakan yang kelima ditubuhkan dalam Malaysia dan yakin RTC tersebut akan berjaya kerana kedudukannya yang strategik di tepi laluan utama yang mudah dikunjungi, termasuklah oleh kira-kira 2,000 pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen.

RTC diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tidak bermakna pembangunan prasarana di luar diketepikan dengan hanya membina pusat tersebut.

RTC Napoh yang terletak di tepi lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, hampir 15 kilometer dari sempadan Malaysia/Thailand di Bukit Kayu Hitam, mempunyai 44 ruang niaga tetap dengan sembilan agensi kerajaan serta 18 kios pameran dan bengkel IKS, beroperasi di atas tapak seluas empat hektar dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Turut hadir sama dalam Majlis Perasmian RTC Kedah adalah Menteri Besar Kedah, YAB Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom.


Jom Turun Bendang Mendapat Sambutan Hangat

Program “Jom Turun Bendang” anjuran sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah disambut dengan meriahnya selama tiga hari dua malam bermula pada 18 – 20 April 2014 bertempat di Kampong Pida 4, Ayer Hitam, Jerlun.

Hampir 3000 pengunjung membanjiri kawasan tersebut sepanjang program “Jom Turun Bendang” diadakan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan permuafakatan disediakan seperti sukan selut, sukan rakyat, sukan kanak-kanak, sukan aspek wanita, pertandingan ‘badang jerlun’, pertandingan lumba kerbau besi dan persembahan kesenian dan kebudayaan.

Selain itu, pameran jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada pengunjung untuk mendapat maklumat dan nasihat mengenai industri padi selain membantu usahawan-usahawan di bawah bimbingan MADA mempromosikan produk mereka sepanjang program tersebut.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata program “ Jom Turun Bendang” sangat bermakna kepada beliau dan juga masyarakat khususnya di Parlimen Jerlun kerana kawasan tersebut merupakan salah satu kawasan penyumbang utama pengeluaran hasil padi kepada negara.

Katanya lagi, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peladang bahawa musim baru tanaman padi telah bermula dan mereka digalakkan turun awal serta mengikut jadual tanaman yang telah ditetapkan untuk memastikan pengeluaran hasil padi dapat dikeluarkan secara konsisten dan sistematik khususnya untuk meningkatkan pendapatan mereka sendiri.

Tambahnya, demi memastikan Negeri Kedah kekal sebagai pengeluar utama padi negara, pelbagai langkah telah diambil seperti peruntukan sebannyak RM2.2 billion oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek penambahbaikan saliran di Kawasan Muda selaras projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Program “Jom Turun Bendang” pada 21 April 2014.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz pula berkata MADA merupakan agensi yang sangat penting dalam mencapai hasrat kerajaan negeri dan juga dalam memastikan peladang-peladang bersama-sama mengusahakan industri padi selaras dengan tagline baru mada iaitu MADA NADI JELAPANG PADI NEGARA.

Tambahnya, beliau yakin dengan usaha MADA dan pihak Kementerian serta kerjasama peladang-peladang dibawah bimbingan MADA, matlamat dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi negara dapat dicapai.

Dato` Othman bin Haji Aziz berkata demikian dalam ucapan aluannya sebelum mengiringi Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam acara cabutan bertuah dan juga memandu traktor untuk membajak sawah sebagai simbol bermulanya Musim Penanaman Padi MADA 1/2014.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Suraya binti Yaacob, ADUN Kota Siputih, Dato` Abu Hassan Sharif dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.


Sunday, April 20, 2014

Kembara Agro Challenge “Jom Turun Bendang”

Kembara Agro Challenge “Jom Turun Bendang” telah dilancarkan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail pada jam 10.00 pagi, 17 April 2014 bermula di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar dan berakhir di Kg. Pida 4, Jalan Tunjang-Ayer Hitam.

Kembara Agro Challenge “Jom Turun Bendang” ini disertai oleh kakitangan dan peladang MADA serta rakan-rakan MADA, di mana sebanyak 33 buah kenderaan dan 5 buah motosikal berkuasa tinggi yang mengiringi kembara ini.

Kembara ini adakan sebagai simbol bermulanya program “Jom Turun Bendang” MADA yang diadakan selama 3 hari 2 malam bermula pada 18 April 2014 bertempat di Kampong Pida 4, Jalan Tunjang-Ayer Hitam.

Program “Jom Turun Bendang” MADA adalah cadangan dari Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz yang bertujuan untuk mengajak masyarakat setempat khususnya peladang di kawasan MADA untuk meraikan permulaan musim tanaman padi dan para petani digesa untuk turun ke bendang bagi memulakan aktiviti persawahan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada masyarakat setempat seperti sukan selut, aktiviti kanak-kanak, aktiviti aspek wanita, cabutan bertuah, persembahan kesenian dan kebudayaan, pameran dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian dan Industri Asas Tani, seminar pembangunan industri padi dan tidak ketinggalan jualan produk dari usahawan MADA.

Padang Bolasepak MADA untuk Pertandingan Liga FAM

Pasukan bolasepak Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah yang bertanding di dalam Liga FAM 2014 telah memilih Padang Bolasepak MADA di Ibu Pejabat MADA sebagai padang tuanrumah mereka untuk Pertandingan Liga FAM. Timbalan Presiden II Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK), Muhamad Shakri Mat berkata Padang MADA merupakan alternatif terbaik bagi mereka selepas menggunakan Stadium Mini Jitra pada tahun lepas. Sebanyak sebelas perlawanan melibatkan Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) akan menggunakan Padang Bolasepak MADA untuk Pertandingan Liga FAM yang berlangsung pada bulan Mac sehingga Jun 2014. Dalam perlawanan terkini pada 13 April 2014 di Padang Bolasepak MADA, Persatuan Bolasepak Melayu Kedah telah menewaskan Harimau Muda C, 2 – 0 untuk menduduki tempat ke 10, dengan mengutip 7 mata.

Sunday, April 13, 2014

MAHA 2014 Mensasarkan 3.5 Juta Pengunjung

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganjurkan acara dwi-tahunan bertaraf antarabangsa iaitu Malaysia Agriculture, Horticulture dan Agrotourism (MAHA) 2014 pada 20 sehingga 30 November 2014, bertempat di Malaysia Agro-Exposition Park (MAEPS), Serdang, Selangor.

MAHA 2014 ini juga akan diadakan bersama dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2014. MAHA merupakan platform terbaik menemukan peniaga, pembekal, pengedar, pembeli selain menjadi tempat yang strategik untuk mendapatkan informasi-informasi terkini dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani.

Selain itu, MAHA juga sebagai ruang bagi menawarkan peningkatan pengeluaran, keselamatan makanan, nilai tambah sekaligus dapat meningkatkan pendapatan petani ke satu paras yang lebih tinggi.

MAHA 2014 yang diselaraskan oleh MARDI dan FAMA dengan dibantu oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun ini bertemakan “Agroteknologi Pemangkin Transformasi” dan akan memaparkan lebih banyak transformasi sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani yang melibatkan aspek inovasi dan teknologi terkini; dan ia sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan industri pertanian yang lestari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi demi untuk kesejahteraan rakyat.

Bagi memastikan MAHA 2014 mencapai matlamat yang ingin disampaikan, Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2014 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 10 April 2014, bertempat di MAEPS, Serdang sebagai simbol bermulanya promosi acara MAHA edisi tahun 2014 ini.

Objektif utama Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2014 adalah bagi memperkenalkan konsep baru MAHA 2014 yang melibatkan lapan fokus utama sektor pertanian iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Agri Trade, Industi Agro-Makanan, Industri Asas Tani, Agro Youth, Malaysian Agriculture and Innovation Challenges (MAgIC), Agro-pelancongan dan juga Agri Lifestyle.

Beliau berkata, melalui lapan fokus utama tersebut, moto ‘Pertanian adalah Perniagaan’ akan dapat diterapkan dalam minda rakyat khususnya golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab memajukan industri pertanian di masa hadapan.


Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam sidang media pula berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan seramai 3.5 juta pengunjung akan hadir memeriahkan program MAHA 2014. Katanya, seramai 3.3 juta pengunjung telah hadir pada MAHA 2012 dan beliau yakin dengan peningkatan kehadiran pengunjung bagi MAHA 2014 berikutan tahun ini juga merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Tajuddin Abd Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Haji Raihan bin Sharif, Pengurus Besar MADA, Dato’ Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.


Sesi Engagement KSU MoA Bersama Pelatih-Pelatih MRTC

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim bin Abdullah telah meluangkan masa untuk Sesi Engagement Bersama Pelatih-Pelatih MADA Rice Training Centre (MRTC) pada 8 April 2014 bertempat di Komplek Latihan MADA, Jalan Langgar, Alor Setar.

Dalam sesi tersebut, beliau telah beramah mesra dan menikmati hidangan tengahari bersama pelatih-pelatih di situ. Beliau dalam ucapannya berkata, dalam tahun 2020 Dasar Agromakanan Negara menyasarkan seramai 75,000 orang pekerja dan sebanyak 25,000 orang tenaga mahir dalam bidang pertanian yang menjadi tumpuan untuk memajukan ekonomi negara.

Katanya, kumpulan tenaga-tenaga mahir merupakan tenaga kerja yang akan turun padang untuk bertemu golongan sasar yang memerlukan pengalaman dan terlatih untuk membantu membangunkan ekonomi negara.

Beliau menyeru kepada semua pelatih-pelatih MRTC agar kuat berusaha dalam meningkatkan kemahiran dan sentiasa berfikiran inovatif dan kreatif sehingga mampu mencapai sijil yang paling tinggi selaras dengan harapan dan cita-cita negara dalam kebergantungan golongan muda dalam mengusahakan bidang pertanian.

Beliau berharap pelatih-pelatih MRTC akan menjadi penyumbang semangat kepada generasi akan datang agar semangat dan minat dalam pertanian tidak akan hilang begitu sahaja. Turut hadir sama dalam sesi tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.