Sunday, April 6, 2014

Perhimpunan Bulanan Bersama YB Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani

Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah diadakan pada 1 April 2014 bertempat di Dewan Serbaguna MoA, Putrajaya. Yang Berhormat Menteri dalam ucapannya menyarankan penjawat awam supaya meningkatkan self-development dan self-improvement dengan menambahkan ilmu pengetahuan dalam semua bidang serta menanam budaya dan sikap suka membaca selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri, Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Razak semasa bersama warga Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini. Tambah beliau, penjawat awam perlu berusaha untuk melakukan penambahbaikan demi negara bagi mencapai kadar pertumbuhan yang yang tinggi dan sentiasa memberi sokongan padu kepada dasar-dasar kerajaan serta saling bermuafakat antara satu sama lain bagi mengukuhkan prestasi negara. Katanya, tugas penjawat awam bukan semata-mata di pejabat tetapi perlulah menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat demi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah benar dan tepat, disamping perlu memahami visi dan misi kementerian atau jabatan mahupun agensi serta memahami matlamat kerajaan. Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob juga menyokong hasrat kerajaan yang amat menitik- beratkan isu dalam memerangi rasuah di kalangan penjawat awam sehingga pihak kementerian telah menempatkan seorang pegawai dari SPRM yang akan membantu kementerian dalam membasmi gejala rasuah di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Beliau berharap program integriti yang dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat memberi kesedaran dan dapat menerap nilai integriti di kalangan penjawat awam, di samping mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Dalam majlis ini juga Yang Berhormat Menteri telah menyampaikan sijil pengiktirafan penyelenggaraan portal dan laman web kepada ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang telah mendapat pengiktirafan tinggi di peringkat nasional. Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Arif bin Abd Rahman, Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail serta 40 orang anggota MADA yang merangkumi pelbagai jawatan.

No comments:

Post a Comment