Sunday, April 13, 2014

Sesi Engagement KSU MoA Bersama Pelatih-Pelatih MRTC

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim bin Abdullah telah meluangkan masa untuk Sesi Engagement Bersama Pelatih-Pelatih MADA Rice Training Centre (MRTC) pada 8 April 2014 bertempat di Komplek Latihan MADA, Jalan Langgar, Alor Setar.

Dalam sesi tersebut, beliau telah beramah mesra dan menikmati hidangan tengahari bersama pelatih-pelatih di situ. Beliau dalam ucapannya berkata, dalam tahun 2020 Dasar Agromakanan Negara menyasarkan seramai 75,000 orang pekerja dan sebanyak 25,000 orang tenaga mahir dalam bidang pertanian yang menjadi tumpuan untuk memajukan ekonomi negara.

Katanya, kumpulan tenaga-tenaga mahir merupakan tenaga kerja yang akan turun padang untuk bertemu golongan sasar yang memerlukan pengalaman dan terlatih untuk membantu membangunkan ekonomi negara.

Beliau menyeru kepada semua pelatih-pelatih MRTC agar kuat berusaha dalam meningkatkan kemahiran dan sentiasa berfikiran inovatif dan kreatif sehingga mampu mencapai sijil yang paling tinggi selaras dengan harapan dan cita-cita negara dalam kebergantungan golongan muda dalam mengusahakan bidang pertanian.

Beliau berharap pelatih-pelatih MRTC akan menjadi penyumbang semangat kepada generasi akan datang agar semangat dan minat dalam pertanian tidak akan hilang begitu sahaja. Turut hadir sama dalam sesi tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.

No comments:

Post a Comment