Sunday, April 6, 2014
Pulau Langkawi Mampu Majukan Sektor Pertanian
Pulau Langkawi yang sinonim dengan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara sebenarnya mampu memajukan sektor pertanian khususnya dalam industri agromakanan yang akan menjadi pendapatan sampingan penduduk di daerah tersebut di samping membekalkan bahan makanan segar kepada penduduk dan pelancung di pulau tersebut.
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rahamat Bivi Yussof bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah telah melakukan lawatan kerja ke Pulau Langkawi selama dua hari pada 27 sehingga 28 Mac 2014.
Objektif lawatan kerja tersebut diadakan adalah untuk meninjau dan meneliti status pembangunan sektor pertanian khususnya agromakanan di Pulau Langkawi dan juga status semasa projek-projek pembangunan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di pulau tersebut.
Pada hari pertama lawatan tersebut, di sebelah paginya, Datuk Dr Rahamat Bivi Yussof dan Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah melawat ke Taman Agroteknologi MARDI Langkawi, yang menjadi destinasi agropelancongan terkenal di Langkawi, terutamanya kepada pelancung dari negara-negara Arab.
Dalam lawatan ini, taklimat pembangunan telah disampaikan oleh Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Sharif bin Haron. Selepas taklimat rombongan telah dibawa melawat ke seluruh taman di samping bergaul bersama pelancung-pelancung.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli bin Omar juga turut sama dalam lawatan ini.
Di sebelah petang pula, Datuk Dr Rahamat Bivi Yussof dan Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah telah melawat Projek Sangkar Laut Terbuka (SLT) di Kampung Sungai Menghulu dan Projek Ekopelancongan di Kilim. Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Ahamad Sabki bin Mahmood telah menyampaikan taklimat.
Pada hari kedua, Datuk Dr. Rahamat Bivi Yussof dan Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah telah melawat Kompleks Pendaratan Ikan Penarak yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk meninjau projek dan aktiviti nelayan di tempat tersebut, terutamanya pasar nelayan dan jeti pendaratan ikan.
Kemudiannya, rombongan Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Pertanian telah melawat ke Durian Perangin untuk meninjau Projek Pengairan Tanaman Padi dan diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dan Lembaga Pertubuhan Peladang.
Rombongan juga kemudiannya telah ke Kg Kubang Badak untuk meninjau Projek Rambutan Anak Sekolah yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan FAMA yang telah melibatkan seramai 28 orang peserta.
Jabatan dan agensi yang terlibat dalam keseluruhan lawatan kerja ini adalah MARDI, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, FAMA, LKIM, UPEN Negeri Kedah dan juga MADA.
Turut hadir sama dalam lawatan kerja ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Suraya bt. Yaacob.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment