Sunday, April 6, 2014

Eksport Produk Pertanian Malaysia Ke China Tidak Terjejas – Dato` Sri Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) — Urusan import dan eksport produk pertanian Malaysia dan China tidak terjejas berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. “Setakat ini semua produk pertanian Malaysia yang dieksport ke China tidak menghadapi sebarang masalah, sama juga pengimportan produk pertanian China ke Malaysia,” katanya. Katanya beliau akan ke Beijing, China pada 11-13 April ini untuk bertemu Menteri Pertanian China, Han Changfu dan beberapa pegawai tertinggi The General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine, sebuah jabatan bertaraf kementerian di China bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pengeksportan produk pertanian Malaysia ke China. “(Dalam) pertemuan itu nanti kita juga mahu menyelesaikan masalah tertunggak membabitkan pengeksportan produk pertanian Malaysia ke China antaranya sarang burung walet mentah, durian, ikan hiasan dan beberapa produk pertanian lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini. Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir rakyat China yang dilaporkan merancang untuk mengadakan kempen memboikot produk barangan Malaysia selepas tragedi pesawat MH370. Pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Namun sebagai langkah persediaan, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan pegawai kementerian untuk mengkaji pilihan alternatif dalam pengimportan produk pertanian dari negara lain sekiranya China bertindak membekukan pengeksportan produk pertaniannya ke Malaysia seperti ikan, buah-buahan dan lain-lain. “Kita bagaimanapun yakin mereka rasional. Sekiranya perlu saya akan menjelaskan secara terperinci mengenai insiden itu kepada Menteri Pertanian China dan pegawai tertinggi kerajaan China kelak,” katanya. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kementeriannya akan mengendalikan latihan berkaitan pertanian kepada golongan belia Bangsamoro di Mindanao, selatan Filipina ekoran termeterai Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina baru-baru ini, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1026973

No comments:

Post a Comment