Ijtimak Pondok Malaysia 2014 telah diadakan bermula pada 23 sehingga 24 April 2014 bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.
Program yang dirancang oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia ini bertemakan Institusi Pondok Di Alaf Baru : Cabaran dan Hala Tuju bertujuan untuk membincangkan kedudukan, permasalahan dan masa depan intitusi pondok.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato` Seri Mohd Najib bin Tun Razak berharap, warga pondok akan terus memainkan peranan sebagai benteng mempertahan kedaulatan dan kesucian Islam sebagai Ad-Din, berteraskan Perlembagaan Negara.
Beliau juga berharap institusi pondok tetap aktif dalam menyuarakan nasihat beraspirasikan ajaran agama yang murni tanpa terikat kepada sentimen politik kepartian.
Katanya, para Umarak (pemerintah) sebagai pemikul amanah kepimpinan pentadbiran memang sentiasa mengharapkan pandangan, nasihat dan doa restu para Ulama dalam menjalankan tugas mereka, akan tetapi situasi yang sebegini akan sukar dibentuk jika suara nasihat ataupun teguran yang dikemukakan terlalu menyerupai nada dan corak digunakan oleh persaingan politik kepartian.
Tambahnya, para ulama harus menasihati dan menegur sesiapa sahaja tetapi sudah tentu dengan kaedah dan budaya yang sesuai dengan wibawa dan kedudukan mereka yang tinggi dalam neraca Islam.
Beliau turut melahirkan kebimbangan tentang berlakunya ajaran liberalisme, sekularisme, pluralisme dan fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam sejak kebelakangan ini dan mengharapkan rakyat Malaysia percaya bahawa kerajaan menolak sebarang ancaman terhadap akidah umat Islam, dan sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan antara rakyat. Kita juga tegas menolak sebarang gerakan dan fahaman yang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 pada 24 April 2014 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Menteri Besar, Dato` Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Profesor Emeritus Dr. Surin Pitsuwan dari Thailand.
No comments:
Post a Comment