Sunday, April 6, 2014

100 Peratus Beras Tempatan Pada 2020 – Y.B. Dato` Sri Ismail Sabri

HANOI 4 April – Malaysia yakin dapat mencapai sasaran mengeluarkan 100 peratus keperluan beras tempatan menjelang 2020, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Menurutnya, walaupun import beras kini 30 peratus daripada bekalan keperluan beras negara dan meningkat 117,000 tan metrik tahun lalu berbanding 983,000 tan metrik pada 2012, namun usaha ke arah mencapai sasaran itu sedang giat dilakukan. Tambah beliau, ketika ini Vietnam adalah negara pengeksport beras terbesar ke Malaysia, dengan 764,878 tan metrik bernilai RM1.3 bilion pada 2012 dan 658,120 tan metrik (RM812 juta) tahun lalu. “Kita hentikan import beras dari Thailand sejak beberapa tahun lalu kerana peningkatan harga, tambahan pula beras Vietnam lebih berkualiti dan murah. “Dalam hal ini, jika import negara tidak menurun pada setiap tahun, itu suatu petunjuk kegagalan indeks petunjuk utama (KPI) kementerian iaitu 100 peratus pengeluaran beras tempatan menjelang 2020,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama bidang pertanian antara Malaysia and Vietnam di Pejabat Perdana Menteri Vietnam di sini. Ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Nguyen Tan Dung. Ismail Sabri berkata, untuk mencapai sasaran 100 peratus pengeluaran beras tempatan bagi keperluan negara, kerajaan sedang berusaha meningkatkan kualiti amalan penanaman padi di seluruh negara. “Kita menggalakkan petani menjadi pesawah komersial dan profesional serta mengamalkan cara-cara penanaman dan pembajaan yang betul dan mengikuti senarai semak kaedah menanam dan membaja yang disyorkan. “Kita juga menyediakan insentif untuk menggalakkan penanaman padi berskala besar atau estet dan bergabung sesama pesawah untuk membentuk ladang padi,” katanya. Beliau berkata, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) juga meneruskan penyelidikan untuk menghasilkan benih berkualiti seperti padi ‘aerob’ yang tidak memerlukan air bertakung dan boleh ditanam tiga musim setahun. “Kita mula memperkenalkan penanaman padi ‘aerob’ tahun lalu dan akan menggalakkan pesawah dan peladang padi untuk menanam benih tersebut,” katanya. Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan harga padi seragam RM1,200 setan daripada pesawah di Semenanjung juga diharap dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran padi negara. – UTUSAN SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140405/dn_10/100-peratus-beras-tempatan-pada-2020—Ismail-Sabri#ixzz2y3uwbMSY

No comments:

Post a Comment