Monday, April 28, 2014

Jom Turun Bendang Mendapat Sambutan Hangat

Program “Jom Turun Bendang” anjuran sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah disambut dengan meriahnya selama tiga hari dua malam bermula pada 18 – 20 April 2014 bertempat di Kampong Pida 4, Ayer Hitam, Jerlun.

Hampir 3000 pengunjung membanjiri kawasan tersebut sepanjang program “Jom Turun Bendang” diadakan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan permuafakatan disediakan seperti sukan selut, sukan rakyat, sukan kanak-kanak, sukan aspek wanita, pertandingan ‘badang jerlun’, pertandingan lumba kerbau besi dan persembahan kesenian dan kebudayaan.

Selain itu, pameran jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada pengunjung untuk mendapat maklumat dan nasihat mengenai industri padi selain membantu usahawan-usahawan di bawah bimbingan MADA mempromosikan produk mereka sepanjang program tersebut.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata program “ Jom Turun Bendang” sangat bermakna kepada beliau dan juga masyarakat khususnya di Parlimen Jerlun kerana kawasan tersebut merupakan salah satu kawasan penyumbang utama pengeluaran hasil padi kepada negara.

Katanya lagi, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peladang bahawa musim baru tanaman padi telah bermula dan mereka digalakkan turun awal serta mengikut jadual tanaman yang telah ditetapkan untuk memastikan pengeluaran hasil padi dapat dikeluarkan secara konsisten dan sistematik khususnya untuk meningkatkan pendapatan mereka sendiri.

Tambahnya, demi memastikan Negeri Kedah kekal sebagai pengeluar utama padi negara, pelbagai langkah telah diambil seperti peruntukan sebannyak RM2.2 billion oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek penambahbaikan saliran di Kawasan Muda selaras projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Program “Jom Turun Bendang” pada 21 April 2014.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz pula berkata MADA merupakan agensi yang sangat penting dalam mencapai hasrat kerajaan negeri dan juga dalam memastikan peladang-peladang bersama-sama mengusahakan industri padi selaras dengan tagline baru mada iaitu MADA NADI JELAPANG PADI NEGARA.

Tambahnya, beliau yakin dengan usaha MADA dan pihak Kementerian serta kerjasama peladang-peladang dibawah bimbingan MADA, matlamat dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi negara dapat dicapai.

Dato` Othman bin Haji Aziz berkata demikian dalam ucapan aluannya sebelum mengiringi Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam acara cabutan bertuah dan juga memandu traktor untuk membajak sawah sebagai simbol bermulanya Musim Penanaman Padi MADA 1/2014.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Suraya binti Yaacob, ADUN Kota Siputih, Dato` Abu Hassan Sharif dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.


No comments:

Post a Comment