Sunday, March 30, 2014
Anggota MADA Disaran Tingkatkan Prestasi Kerja
Semua anggota Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah diseru untuk meningkatkan prestasi dalam kerja yang telah diamanahkan, selain mempunyai sifat integriti yang tinggi, berdisiplin, amanah dan tanggungjawab serta menjaga reputasi dan maruah agar agensi yang dibawa dilihat sebagai agensi yang lebih cemerlang.
Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata integriti berkait rapat dengan kekuatan prinsip dan keutuhan moral , prinsip beretika, kekuatan jati diri dan amanah seseorang individu dalam menjalankan sesuatu kerja yang menjadi ukuran dan menimbulkan tanggapan daripada orang lain.
Tambahnya, MADA merupakan agensi yang berwibawa, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dalam menyampaikan perkhidmatan sebaik mungkin terhadap rakyat khususnya golongan petani di bawah bimbingannya.
Dato` Othman bin Haji Aziz berkata sifat integriti sememangnya harus ditekankan selaras dengan kehendak kerajaan yang kini giat membentuk perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berinovasi kerana rakyat Malaysia semakin peka, berpendidikan tinggi dan mengharapkan yang terbaik kepada sistem perkhidmatan awam.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya kepada hampir 420 pegawai MADA yang hadir dalam Seminar Integriti dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti MADA Bersama Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 30 Mac 2014 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.
Katanya, penganjuran seminar dan menandatangani ikrar integriti adalah sebagai bukti yang jelas akan pengurusan agensi MADA yang sentiasa memberi perhatian serius dalam usaha menerap, memberi kesedaran, memperkemaskan dan menambah pengetahuan serta meningkatkan integriti di kalangan pegawai-pegawai MADA.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Malaysia, Dato` Hajah Sutinah bt Sutan, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Dr Abu Bakar bin Sarpon dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment