Monday, March 10, 2014

Kedah Mahu Maju Seperti Melaka – YAB Dato` Seri Mukhriz

Kedah berhasrat mengikut jejak langkah Melaka dalam mencapai status negeri maju, kata Menteri Besar Kedah Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir. Beliau berkata kerajaan negeri Kedah akan berusaha ke arah mencapai status berkenaan mengikut acuan tersendiri berdasarkan keunikan Kedah yang terkenal dengan jolokan negeri Jelapang Padi. “Kedah mempunyai tanah yang luas dan penduduknya terlibat dalam pertanian. Jadi bila kita sebut negeri maju ini, ia sedikit berbeza dengan negeri Melaka yang terkenal dengan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di Seri Negeri di sini Isnin. Beliau bagaimanapun berkata tempoh untuk menjadikan Kedah sebagai negeri maju masih belum ditetapkan, namun beberapa langkah telah diambil ke arah mencapai matlamat itu. “Kita telah menubuhkan satu jabatan integriti bertujuan meningkatkan tahap keberkesanan perkhidmatan kita kepada rakyat supaya tidak timbul langsung sebarang keraguan mengenai integriti kerajaan negeri,” kata Dato` Seri Mukhriz. Katanya kerajaan negeri Kedah juga giat menarik pelaburan dalam sektor industri dan automotif bagi meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat. Sementara itu Datuk Seri Idris Haron berkata Melaka berhasrat mencontohi pengurusan sektor pelancongan negeri Kedah khususnya di Pulau Langkawi. “Kita ingin lihat bagaimana Kedah membangunkan sektor pelancongan seperti Langkawi di mana ia boleh mengurus jumlah kehadiran pelancong yang cukup ramai dalam masa singkat,” katanya. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1016981

No comments:

Post a Comment