Sunday, March 30, 2014

Parlimen: Perjanjian Konsesi Melindungi Pesawah Tidak Terbatal Dengan Penyahsenaraian Bernas

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) terutama dalam melindungi kepentingan pesawah tidak akan terbatal dengan penyahsenaraian Bernas dari Bursa Malaysia. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat lima perkara dalam perjanjian berkenaan bagi melindungi kepentingan pesawah dan ia tidak akan terjejas dengan penyahsenaraian itu. “Perkara tersebut ialah mengurus dan mengekalkan stok penimbal negara pada setiap masa, menguruskan semua pusat belian padi dan menjadi pembeli terakhir padi pada harga minimum terjamim iaitu RM750 bagi satu tan metrik. “Perkara lain termasuk menguruskan skim subsidi harga padi dan menguruskan skim kilang-kilang bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari. Dato` Seri Ismail Sabri berkata walaupun mungkin akan berlaku perubahan dalam struktur pengurusan dan operasi Bernas ekoran penyahsenaraian itu, lima perkara dalam perjanjian konsesi itu tetap kekal. “Beberapa Anggota Parlimen dari pihak pembangkang bimbang apabila penyahsenaraian ini, kerajaan akan biarkan nasib pesawah ini terumbang-ambing. Ianya tidak benar, malah Bernas telah memberikan janji semua dalam perjanjian masih kekal dan tiada perubahan,” katanya. Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Bernas akan mengendali semua perkara berkaitan pembangunan petani termasuk membangunkan sawah dan insfrasruktur sawah selepas penyahsenaraian itu. Katanya, perkara itu tidak akan berlaku kerana tugas membangunkan sawah dan infrastrukturnya adalah tanggungjawab agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). “Jadi tidak timbul isu apabila Bernas sudah dinyahsenarai nanti maka kebajikan pesawah tidak dijamin kerana perjanjian masih lagi kekal seperti yang lalu,” katanya. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1025141

No comments:

Post a Comment