Monday, March 10, 2014

Kemarau: YAB Dato` Seri Mukhriz nasihat berhemah guna air

ALOR SETAR 3 Mac – Menteri Besar, Dat0` Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menasihatkan rakyat negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini. Menurut beliau, walaupun negeri ini belum mengalami masalah bekalan air namun amalan menggunakan air dengan jimat termasuk mencatunya di rumah amat digalakkan. “Dari segi bekalan air ia mencukupi. Walaupun Kedah satu-satunya negeri yang banyak bekalan air namun tidak salah kalau buat catuan jika tidak di peringkat negeri di peringkat pengguna. “Dari segi kegunaan air eloklah berjimat jangan tunggu sehingga tidak ada air baru nak berjimat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Seri Mentaloon di sini, hari ini. Pada majlis tersebut beliau menyampaikan anugerah sumbangan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) kepada 149 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang PMR pada tahun lepas. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat. Mukhriz menambah, bekalan air di negeri ini hanya mencukupi sehingga hujung bulan ini dan jika masih tiada hujan catuan bekalan air mungkin terpaksa dilakukan. “Doakanlah hujan sebelum hujung bulan ini. Kita juga menggalakkan agar semua masjid serta surau di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat memohon hujan,” katanya. Terdahulu berucap pada majlis tersebut, Mukhriz berkata, sejajar dengan moto ‘Bersama Memacu Transformasi’ LBNK merangka beberapa program serta kemudahan biasiswa dan pinjaman bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan. Katanya, LBNK ditubuhkan sejak 1958 dan memberi biasiswa kepada seramai 2,710 pelajar sekolah menengah, selain pinjaman pelajaran kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih. “LBNK sangat mengambil berat tentang kebajikan dan pencapaian akademik pelajar yang menerima pinjaman tersebut. “Pelajar yang menerima pinjaman dan mendapat keputusan yang cemerlang iaitu memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.75 ke atas, layak dipertimbangkan untuk menukarkan pinjaman kepada biasiswa sepenuhnya. “Pelajar yang mendapat keputusan 3.5 layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini mestilah berusaha agar mendapat keputusan yang cemerlang dan secara automatik pinjaman ini akan ditukarkan kepada biasiswa yang tidak perlu dibayar balik,” katanya. Katanya, kerajaan negeri akan menawarkan lebih biasiswa tersebut kepada pelajar cemerlang layak terutama mereka di kalangan berpendapatan rendah.
SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140304/wu_03/Kemarau:-Mukhriz-nasihat-berhemah-guna-air#ixzz2uxXMD4E2 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment