Monday, March 24, 2014
Tiada Catuan Air di Kedah
ALOR SETAR – Keadaan cuaca yang baik di Kedah ketika ini disifatkan sebagai masa yang sesuai bagi melakukan pembenihan awan untuk membantu mengatasi masalah kemarau panjang di negeri ini sejak Januari lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata antara faktor yang membolehkan pembenihan dilakukan adalah berdasarkan kepada keadaan langit yang mula berawan ketika ini.
Justeru beliau berharap, pihak berkaitan supaya melaksanakan pembenihan awan sebagai salah satu langkah awal untuk menjamin bekalan air sebelum keadaan mendesak.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan catuan air buat masa ini kerana paras air di empangan utama di Kedah ketika ini masih selamat dan mencukupi untuk memenuhi segala keperluan domestik dan pertanian.
“Untuk buat pembenihan awan, syaratnya mesti ada awan juga di langit, macam keadaan sekarang, baru tindakan pembenihan awan ini boleh diambil.
“Jika kita lihat sebelum ini langit di Kedah terang, tidak berawan, tetapi selepas semua pihak melakukan apa yang perlu, termasuk mengadakan solat sunat Istisqa keadaan cuaca kini menjadi semakin baik.
“Langit kita mula berawan dan ada hujan selama tiga hari walaupun tidak cukup. Jadi saya berharap akan tindakan pembenihan awan ini diambil oleh pihak tertentu dan saya juga sarankan agar rakyat supaya tidak putus harap dan terus memperbanyakkan doa,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Besar Perlis, Azlan Man di Wisma negeri pada 24 Mac 2014.
Kunjungan berkenaan adalah bagi meneruskan amalan tradisi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) mengunjungi ketua kerajaan negeri-negeri di seluruh negara bagi menyampaikan jemputan rasmi ke temasya sukan yang dianjurkan di Perlis pada tahun ini.
Sementara itu, Azlan berkata bagi SUKMA ke 17 di Perlis yang akan berlangsung pada 24 Mei depan pihaknya mensasarkan sebanyak 14 pingat emas berdasarkan prestasi semasa kontinjen negeri Perlis ketika ini.
Selain itu katanya, persiapan kerajaan negeri Perlis selaku tuan rumah sudah mencapai tahap lebih 95 peratus dan pihaknya percaya ia akan dilengkapkan sepenuhna pada 8 Mei ini.
“Semua acara termasuk akuatik akan berlangsung di Perlis dan kita menyediakan prasarana bertaraf dunia bagi menghadapi SUKMA kali ini,” katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment