Monday, March 10, 2014

Kedah Mungkin Catu Air

KUBANG PASU 1 Mac – Catuan air mungkin dilaksanakan di Kedah jika musim kering berlarutan sehingga penghujung Mac ini. Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato` Seri Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir berkata, catuan akan dilakukan jika paras air di empangan berada pada tahap membimbangkan. “Kita masih mempunyai bekalan air yang mencukupi justeru catuan air tidak akan dilakukan buat masa ini,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini hari ini. Seramai 2,896 penerima BR1M dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh dalam Parlimen Jerlun menerima bantuan itu hari ini dan seramai 2,892 lagi akan menerima bantuan itu esok. Menurut Dato` Seri Mukhriz, kerajaan negeri tidak akan menunggu sehingga keadaan mendesak untuk membuat catuan air kerana ia akan mengundang banyak masalah. “Bila kita nak buat catuan air, biarlah buat pada waktu yang ada air sebab takkan kita nak catu waktu tak ada air, waktu itu sudah terlambat. “Tetapi buat masa ini pihak kita belum ada keperluan (catu air) tetapi saya terima nasihat SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) iaitu jangan tunggu bila keadaan dah mendesak baru nak buat catuan. “Catuan ini boleh dilakukan di semua peringkat termasuk dalam kalangan pengguna iaitu berjimat dan jangan membazir terutama ketika negara mengalami cuaca tidak menentu ini,” jelasnya. Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Dato` Othman bin Haji Aziz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberitahu, kadar takungan air di tiga empangan utama di negeri itu iaitu Pedu, Ahning dan Muda sehingga Khamis lalu adalah sebanyak 68 peratus. “Takungan air ada sebanyak 1.1 bilion kubik meter dan kita hanya perlukan satu juta kubik meter sehari untuk kegunaan domestik dan ia mencukupi buat masa ini,” katanya.
SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140302/wu_06/Kedah-mungkin-catu-air#ixzz2unBESqLy © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment