Saturday, March 22, 2014

Program ‘Road to MAHA 2014’ Peringkat Perak

MAHA merupakan satu program wajib oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang diadakan setiap dua tahun. MAHA sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari masyarakat, khususnya dari golongan peladang, penternak, dan nelayan. Sememangnya matlamat Kementerian adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut mengenai potensi yang ada dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani. Demi memastikan MAHA mencapai sasaran yang dikehendakki oleh Kementerian, satu program yang dinamakan “Road to MAHA 2014” telah diwujudkan; bertujuan untuk menghebah serta mempromosi penganjuran MAHA bagi tahun 2014 yang dijangka akan diadakan pada 20 sehingga 30 November 2014 bertempat di MAEPS Serdang, Selangor. Program ‘Road to MAHA 2014′ Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan telah diadakan pada 21 sehingga 23 Mac 2014 dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak. Dato` Tajuddin dalam ucapan perasmiannya berkata, program MAHA 2014 yang bertemakan Agroteknologi Pemangkin Transformasi Agroprenuer ini merupakan salah satu program turun padang yang dianjurkan oleh Kementerian untuk bertemu secara langsung dengan golongan sasar seperti peladang, penternak, dan nelayan serta memberi khidmat nasihat dan bimbingan menerusi jabatan dan agensi di peringkat negeri. Tambahnya, program ini juga turut menyediakan peluang-peluang perniagaan dalam setiap sektor kepada penduduk dan juga untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat melalui pendekatan dari atas ke bawah atau top to bottom approach. Katanya, pihak Kementerian mensasarkan untuk memerangi peranan orang tengah dalam semua sub-sektor yang sentiasa menindas dan memanipulasi peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak ketinggalan dalam program “Road To MAHA 2014” Peringkat Negeri Perak; melibatkan dalam pameran dan juga jualan produk-produk yang diusahakan oleh usahawan di bawah bimbingan MADA kepada pengunjung yang hadir. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah, Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, mewakili Pengurus Besar MADA.

No comments:

Post a Comment