Sunday, March 16, 2014

Perhimpunan Bulanan MADA bersama Pengerusi MADA & Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air Dan Penanaman Padi MADA Musim 1/2014

Perhimpunan Bulanan MADA bersama Pengerusi MADA, YB Dato` Othman bin Haji Aziz telah diadakan pada 16 Mac 2014 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Perhimpunan bersama Pengerusi MADA yang merupakan kali ketiga untuk tahun ini diadakan bertujuan untuk mendekati dan menyampaikan amanat serta beramah mesra bersama kakitangan MADA khususnya kakitangan yang bertugas di bahagian pertanian. Dalam perhimpunan tersebut, YB Dato` Othman bin Haji Aziz menyeru kepada pegawai-pegawai MADA yang hadir dalam perhimpunan tersebut sentiasa proaktif, inovatif, komited, bertanggungjawab dan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas agar organisasi MADA lebih cemerlang dari tahun sebelumnya selain memotivasikan diri dalam meminati kerjaya yang diceburi sekarang ini. Beliau berharap pegawai-pegawai MADA sentiasa peka dan sensitif akan perkembangan semasa dan mampu menyampaikan maklumat kepada petani-petani terutamanya dalam memerangi orang tengah dalam sektor padi selaras dengan hasrat dan harapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail. Sementara itu, Dato’ Othman bin Haji Aziz juga turut mempengerusikan Mensyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi MADA pada hari yang sama di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Mesyuarat yang dihadiri oleh Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Pengerusi Biro Pengairan PPK dan pegawai-pegawai MADA bertujuan bagi menetapkan jadual Penanaman Padi Musim 1/2014 selain menyampikan maklumat mengenai prestasi Penanaman Padi Musim 2/2013. Dalam sidang media, beliau memohon peladang-peladang di kawasan Muda mengikut jadual yang diberikan oleh MADA , memudahkan bagi kedua belah pihak dalam memastikan pengurusan industri padi berjalan secara sistematik dan boleh mencapai sasaran pengeluaran padi dalam masa yang telah ditetapkan. Katanya lagi pencapaian yang dicapai oleh MADA secara purata bagi musim 2/2013 adalah sebanyak 98.2% Kawasan Muda berjaya ditanam dan sehingga 12 Mac 2014 sebanyak 91.3% padi yang telah masak dan tuaian padi telah mencapai 84.8%. Bagi hasil pengeluaran padi pula, purata hasil pengeluaran padi musim 2/2013, mengikut bancian CCS sehingga 10 Mac 2014 ialah 6.25 tan per hektar dan hasil tuaian bagi musim 2/2013 dijangka akan melebihi purata hasil musim 2/2012 iaitu 5.27 tan per hektar.

No comments:

Post a Comment