Sunday, February 9, 2014

12 tapak pasar tani di setiap negeri

KUANTAN 9 Feb. – Sebanyak 12 tapak pasar tani akan dibuka di setiap negeri untuk memudahkan orang ramai membeli barangan pertanian pada harga berpatutan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merupakan penambahan kepada pasar tani sedia ada berikutan jumlah permintaan meningkat daripada pengguna. Menurutnya, tapak seluas 1.2 hektar itu bagi setiap satu pasar tani akan dimohon kepada kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang bagi membolehkan lebih banyak penyertaan usahawan tani memasarkan produk mereka di situ. “Dalam hal ini saya mahu melihat adakah negeri-negeri dikuasai pembangkang dapat menyediakan kemudahan tersebut kerana kononnya mereka sering memperjuangkan isu rakyat. “Melalui pasar tani ini pengguna bukan sahaja dapat membeli barangan segar yang dijual juga tetapi menawarkan harga berpatutan dan murah sekali gus merealisasikan usaha kerajaan dalam menangani kos sara hidup,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jihad Memerangi Orang Tengah bagi Sub Sektor Perikanan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Nekmat, Mohamad Dolmat. Ismail Sabri juga memberitahu, pihaknya juga bercadang mewujudkan mini pasar borong pertanian sebagai pilihan kepada orang ramai untuk membeli produk pertanian dalam jumlah pukal. Katanya, kerajaan tidak sesekali membiarkan rakyat menanggung kos sara hidup tinggi dan langkah diambil itu dapat mencegah kenaikan harga barangan yang dijual oleh peniaga. Sementara itu bagi mengenai penyelewengan diesel subsidi melibatkan nelayan di negara ini, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan terhadap nelayan terbabit yang melakukan perbuatan tersebut.
SUMBER : UTUSAN

No comments:

Post a Comment