Tuesday, February 25, 2014
Kemarau: Bantuan Untuk Petani, Penternak, Nelayan Dikenal Pasti
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menunggu laporan terperinci daripada Jawatankuasa Khas Bencana berhubung jenis bantuan perlu disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan terjejas akibat cuaca panas dan kering akhir-akhir ini.
Menterinya Dato` Seri Ismail Sabri bin Yaacob berkata jawatankuasa dipengerusikan ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sedang mendapatkan maklum balas dari negeri-negeri terjejas.
Selain petani, penternak dan nelayan di Kelantan, Kedah dan Perlis, beliau berkata laporan awal mendapati golongan itu di Melaka dan Negeri Sembilan turut terjejas.
“Kita sedang menunggu laporan terperinci dan menyeluruh daripada jawatankuasa tersebut agar dapat menilai jumlah kerugian. Selain itu, kita dapat mengenal pasti masalah dihadapi para petani, penternak dan nelayan serta mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Semalam, kementerian menyalurkan RM39.2 juta kepada 5,447 pesawah yang mengalami kerugian akibat kemarau dan tanah jerlus di Kedah dan Perlis.
Sementara itu, Ismail Sabri mahu pegawai kementerian mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering ini.
“Jangan sampai media laporkan baru nak memaklumkan kepada saya. Saya tidak salahkan media yang melaporkan masalah yang dihadapi golongan itu tetapi media harus dijadikan penandaaras kepada pegawai kementerian, jabatan dan agensi.
“Kalau media tahu lebih awal bermakna mereka (pegawai) tidak bekerja,” katanya.
Pada majlis itu, Ismail Sabri juga menerima Aku Janji Petunjuk Prestasi Utama oleh Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah dan Pengurus Besar dari jabatan dan agensi di bawah kementerian.
SUMBER : BERITA HARIAN / BERNAMA
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kemarau_Bantuanuntukpetani_penternak_nelayandiken
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment