Saturday, February 8, 2014
40 ribu banjiri stadium sempena Malam Mahabbratur Rasul Kedah
ALOR SETAR 8 Feb. – Hampir 40,000 rakyat negeri ini membanjiri Stadium Darul Aman bagi sama-sama mengalunkan qasidah dan selawat diketuai tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech As Seggaf pada Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman malam ini.
Majlis bermula seawal 5.30 petang dengan lapan kontinjen terdiri daripada beberapa sektor antaranya perkhidmatan, pendidikan, agama dan masyarakat umum berarak ke stadium dari lapan lokasi berbeza.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang mengetuai barisan Exco berarak bersama warga kerja Wisma Darul Aman sambil mengalunkan selawat di sepanjang perjalanan menuju ke stadium dari wisma tersebut.
Dalam ucapannya, Mukhriz yang nyata gembira dengan sambutan diberikan pengunjung, tidak menolak untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan.
“Suatu ketika dahulu Kedah terkenal sebagai negeri yang menghasilkan alim ulama. Pernah dikatakan bahawa di mana ada sawah, di situ ada pondok dan di mana ada pondok, di situlah adanya alim ulama.
“Kerajaan negeri berhasrat melihat Kedah Darul Aman kembali gemilang sebagai gedung ilmu. Oleh itu kita berusaha memperbanyakkan usaha dakwah dan tarbiah kepada masyarakat Islam di negeri ini di samping melakukan perubahan dalam pentadbiran bersama-sama dengan Islam,” katanya.
Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Md. Rozai Shafian dan Pengurus Besar Yayasan Islam Kedah, Mohamad Che Nai.
Majlis yang berjalan secara santai itu turut ditambah pengisiannya dengan tazkirah khas oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.
Mukhriz dalam pada itu turut mengingatkan betapa kehidupan umat Islam ketika ini semakin mencabar.
“Dahulu umat Islam kuat, hebat dan disegani kerana mereka saling bersatu padu serta bantu membantu. Tetapi kini, umat Islam kian mudah diperkotak katik oleh musuh Islam akibat perpecahan sehingga menjadi kucar-kacir.
“Nur Islam cuba dimalapkan melalui pelbagai cara sehingga mengakibatkan umat Islam yang cintakan keamanan dan kedamaian dipandang serong sehingga dicemuh sebagai rakus serta tidak bertamadun.
“Bagi mengatasi semua itu, saya harap kita semua sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita selama ini dengan mendoakan Kedah menjadi negeri yang aman dan bertambah makmur,” katanya.
SUMBER : UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment