Sunday, February 9, 2014

Gunakan Air Secara Bijak Ketika Kemarau

ALOR SETAR 9 Februari – Pengguna diingatkan agar berjimat cermat menggunakan air sepanjang tempoh musim kemarau yang melanda negeri Kedah. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, tempoh musim kemarau pada tahun ini dijangka panjang, namun bekalan air masih terkawal di negeri ini. “Saya nasihatkan pengguna agar berjimat cermat menggunakan air dan amalan pembaziran sangat tidak digalakkan sepanjang musim kemarau ini. “Setakat ini, saya boleh pastikan keadaan masih terkawal dan kita sentiasa bersedia untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan yang menghadapi masalah gangguan air,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke Terminal Bas Shahab Perdana di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini hari ini. Yang turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad. Badrol Hisham memberitahu, beliau juga mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menyewa lori tangki serta menempatkan lori tersebut di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air. “Bagi kawasan di kampung-kampung yang sering terjadi gangguan air pula, saya arahkan SADA supaya menyediakan tong besar untuk mengisi air di situ,” ujarnya. Dalam pada itu, ketika mengulas tentang masalah gangguan air yang sering berlaku di kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang, Badrol Hisham berkata, masalah tersebut berpunca daripada masalah tekanan air rendah di kawasan tersebut. “Kawasan yang menghadapi gangguan air terletak di tempat yang tinggi dan mereka hanya dapat bekalan air apabila waktu malam sahaja. “Saya telah memohon peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membina loji air di kawasan terlibat dan masih menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.
Sumber: Utusan http://www.kedah.gov.my/index.php/ms/rss/301-gunakan-air-secara-bijak-ketika-kemarau

No comments:

Post a Comment