Monday, February 24, 2014

MADA Jamin Bekalan Air Untuk Tanaman Padi Cukup Sehingga April

ALOR SETAR 20 Feb. – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan air untuk musim menanam padi yang dijangka bermula April ini mencukupi untuk semua pesawah di negeri ini. Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, ramai yang bimbang tentang bekalan air untuk sawah padi, namun sehingga hari ini paras bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu masih dalam keadaan stabil walaupun mengalami penyusutan. “Pihak MADA beri jaminan bekalan air mencukupi untuk pesawah yang dijangka mula menanam semula padi mereka April ini. “Jadi semua pihak tidak perlu bimbang dan panik dengan keadaan musim kemarau yang melanda seluruh negara sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurutnya, MADA juga menerima laporan tentang segelintir kecil pesawah di negeri ini yang menghadapi masalah bekalan air di sawah mereka ketika ini ekoran kemarau dan panas sejak awal tahun. “Pesawah terlibat menghadapi masalah kekurangan air kerana mereka tidak mengikut jadual menanam padi yang diberikan oleh MADA. “Banyak pesawah di negeri ini yang sudah tuai padi, jadi mereka tidak perlukan air lagi ketika ini. Selepas ini, saya harap semua pesawah akan mengikut jadual yang telah diberikan oleh MADA,” jelasnya. Dalam pada itu, seorang pesawah dari Kampung Padang Terus di sini, Mohd. Zamzuri Md. Salleh, 44, berkata, MADA membekalkan air kepada pesawah di kawasan B3 Alor Senibong dengan secukupnya pada musim ini. “Padi saya hanya menunggu masa untuk dituai dan kami tidak mempunyai masalah kerana mengikut jadual menanam yang dibekalkan oleh MADA. “Sekarang kami tidak perlukan air lagi dan ada pesawah yang hadapi masalah bekalan air disebabkan mereka tidak mengikut jadual MADA,” katanya. Seorang lagi pesawah dari Jelai di sini, Ahmad Jiwa Awang, 56, berkata, tanaman padinya dituai seminggu yang lalu dan buat masa ini kebanyakan pesawah di kawasan tersebut tidak memerlukan air. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140221/wu_03/MADA-jamin-bekalan-air-untuk-tanaman-padi-cukup-sehingga-April#ixzz2uCLFGSEo

No comments:

Post a Comment